Thursday 5 December 2013

Tafsir al-Ikhlas, Seruan Pembebasan dan Kemanusiaan.

Surah al-Ikhlas membawa tema penting iaitu pembebasan dan kemanusiaan.

                Salah satu kandungan utama ajaran Islam ialah konsep keesaan Tuhan atau lebih dikenali dengan perkataan tauhid. Suatu yang diketahui umum bahawa tauhid merupakan asas yang maha penting dalam wacana agama Islam, hal tersebut jelas dalam seluruh teks Islam. Sebagai contoh, terlalu banyak ayat dalam al-Quran yang mengulang-ulang perihal keesaan  Tuhan di pelbagai tempat yang berbeza.

                Latar belakang surah al-Ikhlas

                Selain dalam pelbagai ayat yang berbeza, persoalan tauhid turut dibincangkan khusus dalam sebuah surah yang dinamakan al-Ikhlas. Surah pendek ini dinamakan al-Ikhlas sekalipun tiada walau satu perkataan  al-Ikhlas dan perkataan-perkataan berkait dengan huruf kha-la-sa seperti akh-la-sa, khalis, mukhlis (dan sebagainya) disebut di dalamnya. Apakah rahsianya? Imam al-Raghib al-Asfahani yang merupakan sarjana tafsir dan falsafah yang terkenal dalam dunia keilmuan Islam silam telah menyatakan bahawa perkataan kha-la-sa  yang merupakan asal perkataan al-Ikhlas bermaksud al-Safi sesuatu yang suci, bebas dan murni daripada hal-hal lain. Menurutnya, yang membezakan al-Khalis dan al-Safi ialah al-Khalis merupakan sesuatu yang menjadi suci setelah sebelumnya bercampur dengan sesuatu perkara lain, adapun al-Safi pula boleh dimaksudkan sebagai sesuatu yang sedari awal tidak bercampur dengan apa-apa. Oleh itu al-Asfahani menyatakan hakikat al-Ikhlas ialah ‘berlepas diri daripada segala perkara selain daripada Allah’.[i]

                Imam Muhammad al-Tahir Ibn Ashur menyebut bahawa antara nama surah al-Ikhlas dalam kitab al-Itqan fi Ulum al-Quran karangan Imam al-Suyuthi  ialah “surah al-Asas” kerana ia mengandungi soal keesaan Allah dan keesaan Allah pula merupakan asas Islam. demikian juga pelbagai nama lain seperti surah al-Samad (nama Allah yang disebut dalam surah al-Ikhlas), al-Tauhid, al-Najah (bermaksud kejayaan, kerana tauhid menjadikan seseorang berjaya bebas daripada kekufuran di dunia dan bebas daripada neraka di akhirat)dan beberapa nama lagi[ii].

                Menurut Ibn Ashur, antara tujuan-tujuan daripada surah ini ialah “menetapkan keesaan Allah swt, bahawa manusia sangat berhajat kepada Allah semasa ia sedang ditimpa kesusahan, membatalkan tuduhan bahawa ada Tuhan mempunyai anak dan diperanak”.[iii]

                Sayyid Qutb dalam karangannya bertajuk Fi Zilal al-Quran menyatakan konsep keesaan Tuhan sebagaimana dijelaskan dalam surah ini merupakan “keyakinan untuk nurani, penjelasan kepada kewujudan Tuhan, manhaj untuk kehidupan dan surah ini mengandungi garis-garis yang pokok dalam hakikat besar Islam.”[iv]

Dalam riwayat-riwayat hadis yang sahih, surah al-Ikhlas dinyatakan sebagai menyamai satu pertiga al-Quran. Sabda Nabi saw: “Demi Dia yang jiwaku di tangan-Nya, sesungguhnya ia menyamai satu pertiga al-Quran.”[v] Muhammad Abduh mengulas bahawa perihal fadhilat yang besar akan surah ini bukanlah suatu yang ganjil kerana sesiapa yang mengetahui erti surah ini dengan sebenar-benar pengetahuan dan memahaminya dengan sebenar-benarnya, tiada lagi selepas pengetahuannya tentang al-Tauhid dan al-Tanzih (Tuhan itu suci daripada segala kekurangan) selain pengajaran seterusnya merupakan penjelasan tentang apa yang dia sudah tahu dan syarah akan apa yang dia sudah peroleh.[vi]

Demikian berdasarkan beberapa petikan daripada para sarjana di atas, kita fahami bahawa persoalan keesaan Tuhan dan mengenali Tuhan dengan sebenar-benar pengetahuan merupakan antara tujuan diturunkan agama dan diutuskan para rasul. Akal manusia mungkin boleh berimaginasi dalam banyak perkara, selain mencapai pengetahuan yang baik dalam membina teknologi, namun untuk mengenali Tuhan dan mengetahui perkara-perkara ghaib seperti alam selepas kematian, manusia sangat lemah dan berhajat kepada pembimbing. Oleh itu diturunkan agama Islam sebagai panduan zaman berzaman dan diutuskan para rasul untuk mendidik manusia tentang tauhid sebagai satu asas terpenting sistem kehidupan, seterusnya setelah difahami dan dihayati dengan teguh sistem itu, manusia diperintahkan untuk membangunkan bumi dengan kebaikan dan keadilan.

Sebab turunnya ayat ini menurut para ilmuan tafsir ialah berdasarkan soalan daripada kaum musyrikin kepada Rasulullah saw supaya baginda saw menceritakan kepada mereka tentang Allah swt. Lalu Allah swt menurunkan: “Katakanlah Dia ialah Allah yang esa, sehingga akhir surah.”[vii]
Tauhid Sebagai Salah Satu Maqasid al-Quran
Justeru para sarjana Islam yang menulis dan mengulas tentang Maqasid al-Quran, salah satu yang disenarai dan berada di kedudukan teratas ialah mengenai keesaan Tuhan. Al-Ustaz al-Imam Muhammad Abduh menyatakan bahawa maqasid al-Quran ada lima semuanya, salah satu dan yang pertama menurut beliau ialah al-Tauhid, selain al-wa’d wa al-wa’id (janji ganjaran baik kepada orang yang mentaati perintah Tuhan dan ancaman buruk kepada orang yang melanggar perintah Tuhan ), al-Ibadah, Bayan Sabil al-Sa’adah (menerangkan jalan kebahagiaan) dan al-Akhbar wa al-Qasas (Kisah kaum-kaum terdahulu)[viii]. Menurut Muhammad Abduh lagi, al-Tauhid merupakan kandungan agama paling penting dan agama diturunkan demi mencapai tujuan agung tersebut. Ia menolak akar syirik dan penyembahan berhala yang sebelum itu merebak dalam banyak kaum dan bangsa hingga diambil pembantu-pembantu selain daripada Allah dan mereka (yang syirik) berdoa dan meminta kepada selain Allah swt.[ix]
Selain Muhammad Abduh, para sarjana Islam lain yang melakukan kajian terhadap maqasid al-Quran juga menyatakan bahawa al-Quran mengangkat persoalan keesaan Tuhan sebagai perkara paling pokok dalam ajarannya. Sebagai contoh Rashid Redha semasa membahaskan mengenai maqasid al-Quran (menurutnya, maqasid al-Quran ada sepuluh) dalam karangan terkenalnya al-Wahy al-Muhammadi (juga dalam tafsir al-Manar-nya) menyatakan bahawa salah satu maqasid al-Quran ialah melakukan perobahan keagamaan berdasarkan tiga rukun utama iaitu salah satunya, keimanan dengan Allah taala.[x] Keimanan kepada Allah merupakan rukun pertama yang terbesar daripada tiga rukun dalam maqasid al-Quran yang pertama iaitu al-Islah al-Dini (Perubahan keagamaan). Disebabkan itu, didapati perkara paling banyak diulang-ulang dalam al-Quran ialah persoalan keesaan Allah.[xi]
Muhammad al-Ghazali dalam bukunya bertajuk al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, iaitu sebuah buku yang menulis tentang lima paksi utama yang terkandung dalam al-Quran. Paksi yang pertama menurut beliau ialah Allah al-Wahid (Allah yang Esa) yang merupakan mesej terpenting al-Quran.[xii] Kaum dan manusia sebelum ini mengenali Tuhan dengan pengetahuan yang kurang dan cacar, lalu mereka menyembah Tuhan lain selain Allah, walhal Tuhan yang disembah itu hasil ciptaan tangan mereka sendiri. Lantas diutuskan para Rasul untuk membetulkan kesesatan tersebut dan manusia diseru supaya kembali kepada Allah yang Esa.
Selain itu, Yusuf al-Qaradhawi dan Taha Jabir al-‘Alwani antara sarjana yang turut mengulas mengenai maqasid tertinggi al-Quran dan kedua-duanya memasukkan keesaan Tuhan sebagai salah satu tujuan besar yang mahu dicapai al-Quran. Al-Qaradhawi berpandangan, maqasid al-Quran ada tujuh semuanya, salah satunya ialah Tashih al-‘Aqa’id wa al-Tasawwurat (Membetulkan Kepercayaan dan Tasawwur). Dalam maqasid yang pertama ini, diletakkan tiga unsur dan salah satunya ialah mengukuhkan doktrin Tauhid. Al-Qaradhawi menyatakan:
“al-Quran menyatakan syirik sebagai jenayah terbesar yang dilakukan makhluk (al-Nisa’:48). Yang demikian kerana pada syirik itu merupakan kezaliman akan hakikat, pemalsuan akan realiti dan menurunkan manusia daripada martabat ketua kepada alam – sebagaimana Allah mahukan – kepada martabat menjadi hamba dan tunduk kepada sekalian makhluk, sama ada makhluk yang keras, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia atau lain-lain.”[xiii]
Adapun Taha Jabir al-Alwani menyatakan maqasid al-Quran yang tertinggi dan mentadbir seluruh kandungan al-Quran yang lain ialah al-Tauhid, al-Tazkiyah dan al-‘Umran. Dr Fathi al-Malkawi telah melakukan kajian lanjut mengenai tiga maqasid menurut pandangan al-‘Alwani tersebut dalam sebuah buku bertajuk Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran dan dalam satu konsep Tauhid sememangnya teras paling utama menurut al-Alwani dan diulas lanjut oleh Fathi al-Malkawi dalam bukunya tersebut. Menurutnya: “Tiada ertinya agama tanpa mengesakan Allah Yang Maha Mencipta, dan penyucian (al-Tazkiyah) diri manusia pula untuk memperkuat manusia untuk memikul amanah pentadbir di muka bumi, menguruskan dunia dan membina tamadun.”[xiv]
Demikian sebahagian sarjana Islam yang telah melakukan kajian dan renungan terhadap al-Quran, lalu mereka mengeluarkan apa yang mereka nyata sebagai maqasid al-Quran, iaitu tujuan-tujuan yang mahu dicapai oleh al-Quran menerusi seluruh ayat di dalamnya. Mereka mungkin berbeza dengan bilangan maqasid, hakikatnya maqasid yang dikeluarkan saling memperkukuh dan memperkuat antara sama lain, bahkan secara umumnya semua menyebut perkara yang sama, menerusi ungkapan yang berbeza. Namun demikian, semua sarjana di atas (bahkan seluruh ilmuan Islam) bersetuju bahawa al-Tauhid merupakan mesej utama yang disampaikan oleh al-Quran dan juga merupakan tujuan diutuskan para rasul.
al-Tauhid sebagai slogan pembebasan
Ayat pertama dalam surah al-Ikhlas menyebut: “Katakanlah wahai Muhammad, Dia Allah Yang Maha Esa.” Ayat yang sangat pendek ini mengandungi slogan yang sangat besar iaitu menolak perhambaan, kediktatoran, pembodohan, kerendahan dan segala hal yang bercanggah dengan keesaan Tuhan. Konsep keesaan Tuhan secara langsung menonjolkan falsafah kemuliaan insan. Manusia disuruh supaya mengesakan Tuhan dan meninggalkan apa-apa yang merendahkan nilai manusia daripada mulia kepada hina, manusia diseru supaya membebaskan diri mereka daripada khayalan dan penipuan dunia, lalu menghambakan diri kepada satu-satunya Pencipta.
Disebabkan hanya Allah swt sahaja yang Esa dan disembah, maka tiada erti segala bentuk penyembahan yang lain, sama ada penyembahan bukit-bukau, berhala, manusia, bahkan menolak penyembahan diri manusia sendiri. Konsep al-Tauhid menolak pembodohan, maka ia menimbulkan pertanyaan yang penting mengenai alam dan kehidupan seperti terlihat dalam pelbagai ayat al-Quran. Muhammad al-Ghazali meletakkan al-Kawnal-Daal ‘ala Khaliqih (Alam yang menjadi petunjuk Dia selaku Pencipta) sebagai paksi kedua daripada lima paksi utama al-Quran.[xv] Bererti, apabila bercakap tentang Tuhan dan kekuasaannya ialah bercakap soal alam dan seluruh kandungannya. Ia soal kajian, renungan, fikiran, bukannya ikut-ikutan (taqlid) secara buta, terima tanpa soal dan beritual tanpa berfikir. Apabila ayat-ayat tentang Ulul Albab (lihat contohnya 2:269, 3:7, 13:19, 38:29, 39:18 dan 3:190) yang merupakan salah satu gelar kepada golongan cerdik pandai dalam al-Quran disebut, ia berkait dengan persoalan alam semesta, sifat-sifat manusia dan juga hukum-hakam agama. Bermaksud, berTuhan hakikatnya ialah sebuah praktis berfikir dan merenung, demi menuju sebuah kebenaran yang agung.
Manusia harus tahu apa yang dilakukan dan mempunyai alasan dan hujah di sebalik setiap tindakan mereka. Sebahagian manusia (terutamanya Muslim) mungkin sudah berasa berjaya membebaskan diri daripada perhambaan dalam erti kata berhala, bukit-bukau dan sebagainya, namun tanpa sedar manusia boleh terjebak dengan penyembahan harta benda dan diperhamba sistem dan manusia tertentu. Sebahagian manusia mengejar kekayaan, pangkat dan kemasyhuran sehingga mengabaikan amanah besar menjadi manusia seperti berbuat baik kepada manusia lain dan menegakkan keadilan dan kebaikan di mana sahaja berada.
                Hal yang paling penting dalam konsep Tauhid sebagai sebuah slogan pembebasan ini ialah manusia harus berhati-hati dengan bahaya diri sendiri. Seringkali kita diperingat supaya berhati-hati dengan bahaya dari luar, namun realitinya diri sendiri turut wajar kita waspadai. Disebabkan itu terdapat ayat yang menceritakan perihal manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan (lihat 45:23) hingga tertutup telinga dan matanya serta tidak mengakui kebenaran yang telah dibentangkan. Adakala manusia menolak untuk melakukan sesuatu kebaikan hanya kerana ia dicadangkan atau dilakukan oleh insan atau kumpulan yang tidak disukainya, lalu tanpa hujah, telinga dan matanya buta daripada melihat perbuatan baik sebagai ‘baik’. Menjadi seorang Muslim yang mengesakan Tuhan sebagaimana terdapat pada ayat pertama surah al-Ikhlas itu hakikatnya menjadi seorang yang sentiasa mendisiplinkan diri dalam menundukkan ego
Tokoh sufi terkenal, al-Imam al-Qushayri dalam bukunya bertajuk al-Risalah al-Qushayriyyah telah meletakkan satu tajuk al-Hurriyyah (Kebebasan) dalam bukunya itu. Selain mendefinisikan kebebasan sebenar ialah bebas daripada sebarang perhambaan dan tiada apa-apa dalam hati manusia selain Allah, al-Qushayri menulis bahawa kebanyakan kebebasan itu ada pada berkhidmat kepada orang faqir.[xvi] Demikian, kebebasan yang sebenar itu ialah diri yang bebas daripada segala hal dalam dunia yang sementara dan bebas daripada penjara ego sendiri, dan jika menurut al-Qushayri, ia ada pada berkhidmat dan berbuat baik kepada golongan yang memerlukan. Oleh itu, pertanyaan tentang kualiti spiritual kita, terjawab pada sejauh mana kita membantu orang yang sedang dalam kesusahan.
Tidak beranak, diperanak dan tiada yang setara dengan-Nya
Pada ayat ketiga dan keempat dalam surah al-Ikhlas, perbincangan tentang kesempurnaan dan keagungan Tuhan yang tiada apa-apa yang serupa dengan-Nya. Al-Quran menyelar sikap sesetengah ahlul Kitab yang telah menciptakan pendustaan apabila menyatakan Tuhan mempunyai anak, selain itu khayalan salah sesetengah penganut dan pendokong agama tentang Tuhan berlangsung zaman berzaman. Lalu dalam sebuah surah kecil ini, ia turut menyentuh persoalan ini, demi merealisasikan salah satu maqasid al-Quran yang menegakkan konsep Tauhid yang benar.
Selain perbincangan menolak doktrin salah tentang ketuhanan, ia juga hakikatnya sebuah perbincangan tentang penolakan terhadap sebarang perbuatan ta’lih iaitu mempertuhan sesiapa sahaja termasuk ahli agama dan penguasa. Sebagai contoh dalam surah al-Taubah (9:31) Allah swt menyebut perihal sebahagian ahlu al-Kitab yang menjadikan pendeta dan ahli agama mereka sebagai sebahan selain daripada Allah. ‘Adi Ibn Hatim ra (ketika itu, beliau masih belum memeluk Islam dan beragama Nasrani) ketika mendengar ayat tersebut dibacakan telah menafikan bahawa mereka menyembah para pendeta dan ahli agama. Lalu Nabi saw menyebut bahawa mereka telah menjadikan para pendeta dan ahli agama sebagai Tuhan apabila dengan penuh wewenang apabila para ahli agama menghalalkan perkara haram dan mengharamkan perkara halal tanpa hujah yang benar, lalu para penganut agama menuruti tanpa soal, itu juga salah satu bentuk penyembahan.[xvii]
Oleh yang demikian, berdasarkan hal di atas, beberapa sarjana terkemuka termasuk Yusuf al-Qaradawi begitu tegas dengan soal halal dan haram, khasnya apabila segelintir pihak begitu mudah mengharamkan itu dan ini seperti mengharamkan nyanyian, muzik dan banyak perkara lain khasnya isu-isu baharu dan kontemporari yang kebanyakannya berada di bawah bab al-mu’amalat. Menurutnya: “tiada pendeta atau ahli agama, tiada pemerintah atau penguasa memiliki kuasa untuk mengharamkan sesuatu dengan pengharaman yang kekal ke atas hamba Allah. Sesiapa yang melakukannya, ia telah melampaui batasannya dan melanggar hak ketuhanan dalam meletakkan syariat kepada manusia.”[xviii]
Selain itu, ayat ketiga dan keempat tersebut menegaskan penolakan terhadap kekuasaan selain daripada Tuhan. Khurafat dan kepercayaan karut seperti tangkal dan sebagainya ditolak, kerana keesaan Tuhan selain menolak khayalan Tuhan itu beranak atau diperanak, ia membebaskan akal manusia daripada kekarutan, hingga menjadi lemah dan tunduk kepada perkara khurafat kerana segala apa selain Tuhan ialah makhluk dan semua makhluk itu bersifat sementara dan lemah.
Pemikiran ini juga terpakai apabila manusia berhadapan dengan penguasa yang zalim dan jahat. Dalam al-Quran, kisah pemimpin diktator, zalim dan menindas diulang-ulang di banyak ayat yang berbeza. Sebahagian manusia berasa lemah dan mengambil keputusan untuk menyerah dan ‘bersabar’ atas penindasan yang sedang dihadapi. Walhal, konsep Tauhid yang diajar Islam menyeru kepada mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhamba diri kepada Tuhan manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada kezaliman atas nama agama kepada keadilan Islam. Pemikiran Tauhid menyeru kepada setiap manusia ialah sama di sisi Allah, kecuali yang paling bertaqwa kepada-Nya. Pemikiran berteraskan kasta ditolak keras kerana ia bercanggah dengan kesamarataan atas dasar Tauhid, demikian juga berdasarkan pemikiran Tauhid, dalam sesebuah negara undang-undang yang dipakai antara orang miskin dan orang kaya, rakyat dan pemerintah adalah sama. Kerana Tuhan itu tidak beranak dan diperanak dan Tuhan itu tiada yang setara dengan-Nya.
Kepada al-Samad kita bergantung harap
Dalam ayat kedua surah al-Ikhlas, Allah swt memperkenalkan dirinya sebagai al-Samad. Menurut al-Asfahani, al-Samad ialah Tuan yang menjadi tujuan oleh setiap yang berhajat dalam sesuatu urusan.[xix] Al-Samad menurut Ibn Ashur ialah setiap yang selain daripada-Nya berhajat kepada-Nya.[xx] Nama al-Samad yang amat indah ini hanya disebut dalam surah yang bernilai satu pertiga al-Quran ini, tiada dalam ayat-ayat yang lain. Sayyid Qutb semasa mengulas tentang al-Samad telah berkata:
“Erti al-Samad menurut bahasa ialah Tuan yang menjadi tujuan di mana tidak berlaku sesuatu urusan melainkan dengan izin-Nya. Allah swt ialah Tuan yang tiada tuan selain-Nya, Dia itu Esa dalam ketuhanannya dan seluruh perkara merupakan hamba kepada-Nya. Dia merupakan satu-satu yang menjadi tujuan setiap hajat, satu-satunya yang menjawab permintaan orang yang memerlukan. Dia lah yang melakukan setiap perkara dengan izin-Nya, tiada sesiapa boleh menjadikan sesuatu perkara berlaku bersama-sama-Nya. Sifat ini adalah bermula dengan hal-Nya yang Maha Esa.”[xxi]
Begitu indah dan mendalam sekali maksud nama Allah al-Samad ini,hakikatnya setiap manusia sentiasa berinteraksi dengan al-Samad. Dalam kehidupan, manusia akan berhadapan dengan kesukaran dan kadang-kadang seperti sudah tiada jalan keluar, maka manusia mengadu memanggil nama Tuhannya, memohon kemudahan. Al-Samad itu sentiasa hadir dalam hidup kita sama ada ketika kita senang atau susah, siang atau malam. Adapun (kebanyakan) kita, memilih untuk meminta dan mengadu kepada al-Samad hanya ketika sedang ditimpa susah.
Ketika kita kabur dengan jalan di hadapan, al-Samad lah yang memimpin menuntun kita sampai ke destinasi yang dimahukan. Ketika kita sendiri meragui kemampuan kita berhadapan dan menyelesaikan sesuatu masalah, al-Samad berbicara: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan kadar kemampuannya” (3:286). Ketika kita berasa sedang sendirian dan tidak punya teman untuk dikongsi duka dan lara, al-Samad berkata: “dan Dia bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada” (57:4). Sebahagian manusia awalnya sombong untuk mengingati al-Samad, tetapi sampai satu masa manusia itu akan terduduk tidak terkata apabila ditimpa sesuatu musibah, lalu selepas peristiwa itu manusia itu mula berkenalan dengan al-Samad.
Di samping itu, nama Allah al-Samad ini mengajar kita sesuatu, iaitu mencontohi sifat Allah yang mulia ini dengan sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Bertanya tentang sejauh mana kualiti keimanan kita terjawab dengan sejauh mana kita membantu orang yang memerlukan. Bertanya tentang di mana Tuhan di hati kita ialah bertanya tentang di mana orang miskin dan golongan yang ditindas di fikiran kita. Inilah persoalan keesaan Tuhan dan hakikat keimanan yang ditampilkan menerusi surah pendek ini, ia berkait dengan penghayatan akan nilai besar dalam bertuhan, iaitu sejauh mana kita serius mahu menyumbang kepada manusia dan kemanusiaan?



[i] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 210.
[ii] Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia: Dar Suhnun) jilid 12, hlm. 609-610
[iii] Ibid, hlm. 612.
[iv] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran cetakn ke-34 (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2004) jilid 6, hlm. 4002.
[v] Al-Bukhari
[vi] Muhammad Abduh dalam tafsir Juzuk Ammanya, dipetik dalam al-A’mal al-Kamilah Li al-Imam al-Shaykh Muhammad Abduh, tahqiq oleh Muhammad Imarah, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1993) hlm. 535-536.
[vii] Al-Suyuthi, Asbab al-Nuzul, tahqiq Muhammad Salah, cetakan pertama (Kaherah: Maktabah al-Rahhab, 2007) hlm. 247, Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Kaherah: Dar al-Manar, 2002) jilid 4, hlm. 553
[viii] Muhammad Rashid Redha, Tafsir al-Manar (Tafsir al-Quran al-Hakim), cetakan kedua. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2005) jilid 1, hlm. 34.
[ix] Ibid, jilid 1 hlm. 35.
[x] Ibid, jilid 11, hlm. 187.
[xi] Ibid, jilid 11, hlm. 187-188
[xii] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[xiii] Al-Qaradhawi, Kayf Nata’amal Ma’a al-Quran, cetakan kelapan (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2011) hlm. 73-74
[xiv] Fathi Hasan al-Malkawi, Manzumah al-Qiyam al-‘Ulya: al-Tauhid wa al-Tazkiyah wa al-‘Umran, cetakan pertama (Herndon: International Institute of Islamic Thought), hlm. 23.
[xv] Muhammad al-Ghazali, al-Mahawir al-Khamsah Li al-Quran al-Karim, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2010) hlm. 21.
[xvi] Al-Qushayri, Abu al-Qasim, al-Risalah al-Qushayriyyah, cetakan keempat (Kaherah: Dar al-Salam, 2010) hlm. 120-121.
[xvii] Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Kaherah: Dar al-Manar, 2002) jilid 2, hlm. 348
[xviii] Al-Qaradhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, cetakan ke-29 (Kaherah: Wahbah, 2007) hlm. 23-24
[xix] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama. (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 368.
[xx] Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia: Dar Suhnun) jilid 12, hlm. 617.
[xxi] Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran cetakn ke-34 (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2004) jilid 6, hlm. 4004.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP