Tuesday, 3 June 2014

Tentang Buku "Memahami Maqasid Shariah"


Artikel ini merupakan prakata penterjemah (saya) untuk buku di atas yang baru sahaja diluncurkan pada 30 Mei baru-baru ini.

Perbincangan tentang maqasid al-shariah telah berkembang dan makin meluncur laju akhir-akhir ini, terutama sejak kebangkitan pemikiran maqasidi (nahdah al-fikr al-maqasidi) di tangan pelbagai tokoh seperti Ibn ‘Ashur, ‘Allal al-Fasi, Rashid Redha dan ramai lagi. Bahkan bukunya Ibn ‘Ashur bertajuk Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah dianggap sebagai antara penulisan mengenai maqasid yang terunggul selepas karangan monumental oleh Imam al-Shatibi bertajuk al-Muwafaqat.[1] Pemikiran maqasid bukanlah suatu yang baharu dalam dunia umat Islam hari ini lalu asing dalam khazanah keilmuan Islam, sebaliknya ia sudah ada asas dan telah dipelopori oleh kalangan sarjana silam seperti al-Hakim al-Tirmidhi, al-Shashi, Fakr al-Din al-Razi, al-Juwayni, al-Shatibi, al-Izz Abd al-Salam, Ibn Taimiah, Ibn Qayyim dan ramai lagi hinggalah ditulis secara tuntas oleh Abu Ishaq al-Shatibi menerusi al-Muwafaqat[2]. Bahkan maqasid al-Shariah sudah wujud sejak zaman Nabi saw dan para sahabat, sesungguhnya Nabi saw merupakan insan yang paling arif dalam rahsia dan tujuan Shariah.

Saya mula tertarik dengan perbincangan maqasid al-shariah pada tahun 2011 dan sejak itu sehingga kini, saya fikir, semakin membaca, mentelaah, berguru, berbincang dan menulis tentang maqasid, semakin menjadikan saya tertarik dan yakin bahawa ia suatu yang mesti diketahui setiap Muslim (sudah tentu berbeda tahap pengetahuan antara pembaca awam, pertengahan, pengkaji dan sarjana mujtahid). Tuan guru maqasid yang terkenal, Prof. Dr Ahmad al-Raisuni mengumpamakannya dengan aktiviti berenang; ada yang berenang dalam lautan, ada yang berenang dalam sungai dan ada yang berenang dalam kolam.[3] Semua berbeza tempat dan lapangan; ada yang dalam dan mencabar, ada yang sederhana dan ada yang mudah.

Saya menyebut hal ini lantaran sebahagian pihak menganggapnya ilmu khusus dan hanya untuk sarjana peringkat tertinggi sahaja. Islam diturunkan untuk semua, justeru persoalan hikmah, prinsip dan tujuan-tujuannya harus diajar kepada semua; paling tidak, secara asas. Apa yang penting, setiap pihak bertanggungjawab untuk berbicara sekadar pengetahuan mereka sahaja, menjadikan maqasid untuk lebih beriltizam dan kukuh keyakinan dengan Shariah, bukannya sebagai helah untuk lari daripada arahan Shariah (semoga Allah swt melindungi!) Apa yang penting untuk yang mahu mendalaminya, maqasid al-shariah tiada berpisah dengan Usul al-Fiqh khasnya, bahasa Arab terutamanya dan pelbagai disiplin dalam Shariah yang saling berkait.

Dr Jasser Auda dan Dr Siddiq Fadzil pada malam majlis peluncuran


Saya memilih karya Prof Dr Jasser Auda (berbanding buku-buku lain) untuk diterjemah kerana beberapa faktor; antaranya perbahasannya mudah, sederhana, ‘lebih berani’ berinteraksi kritikal dengan realiti dunia dan pemikiran semasa, atau mungkin boleh disebut bahawa beliau (seperti juga ramai sarjana yang lain) memberi penekanan maqasid al-shariah bukan sekadar untuk menyelesaikan masalah (problem solving) fiqh harian, tetapi maqasid al-shariah juga berperanan dalam membangunkan manusia dan tamadun (social engineering).  Buku-buku for beginners dalam bidang maqasid karya penulisan tokoh-tokoh yang lain juga baik, tetapi barangkali karya ini baik sebagai permulaan. Saya tinggalkan kalian untuk menilainya.

Seterusnya, saya buku ini turut mengandungi karya penulis yang bertajuk Bayn al-Shariah wa al-Siyasah, sebuah teks yang ditulis untuk menjawab beberapa persoalan interaksi Muslim, Islamis dan bagaimana sepatutnya pendidikan kepolitikan pada peringkat pasca-revolusi berteraskan pendekatan maqasid. Teks ini sangat wajar difahami konteks penulisannya, muncul di celah-celah perbahasan rumit pada awal-awal musim revolusi di Tanah Arab, ditujukan (secara lebih khusus) kepada rakyat Mesir, selain untuk Tunisia dan negara-negara lain. Namun di sebalik itu, ada perbahasan-perbahasan yang boleh diambil manfaat oleh semua pihak, khasnya apa yang berkait dengan pengetahuan asas berkenaan maqasid al-shariah dan kepolitikan, serta apa itu pelaksanaan Shariah (tatbiq al-shariah)?

Jawapan-jawapan yang diberikan lebih kepada pandangan penulis, berdasarkan pertimbangan yang dilakukannya. Persoalan revolusi (sebelum, semasa dan selepas) ialah sebuah persoalan yang rumit, tapi jika direnung menurut pandangan berteraskan pendekatan maqasid al-shariah, kita akan mendapati beberapa persamaan dalam perbahasannya. Lalu saya kira, tulisan-tulisan tentangnya seperti oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Thawrah al-Sha’b, al-Raisuni dalam Fiqh al-Thawrah (contohnya beliau menyebut, beliau menulisnya lantaran terlalu banyak persoalan oleh Muslim di negara-negara yang berlaku revolusi tentang “apa perlu kami buat?”[4]), Questions on Revolution oleh Dr Salman Audah dan sebagainya saling melengkapi antara satu sama lain.

Mereka menulis sebagai bimbingan, lontaran pandangan dan atas tanggungjawab selaku ilmuan, justeru pandangan-pandangan mereka wajar terus didebatkan, diterima atau ditolak selagi tidak bertentangan dengan perkara-perkara putus dalam hal agama. Teks-teks tersebut muncul di tengah-tengah krisis; mengulas kritikal dan mencaadngkan solusi, sebagaimana teks-teks seperti The People’s Spring: The Future of The Arab Revolution oleh Samir Amin, The Arab Spring: The End of Post Colonialism oleh Hamid Dabashi, The Arab Awakening oleh Tariq Ramadan dan lain-lain muncul menerusi analisis berdasarkan pendekatan masing-masing. Nas sentiasa jelas, tetapi realiti dan keadaan semasa (waqie) sentiasa berhajat kepada penilaian kritikal. Dalam urusan keduniaan dan politik khasnya, memahami Shariah, tujuan dan prinsip-prinsipnya sangat penting, supaya menatijahkan kebaikan dan keadilan, bukan sebaliknya.[5]

                Berkaitan penterjemahan, saya secara asasnya menterjemahkan kedua-dua buku ini dengan merujuk kepada teks asal dan sentiasa berhubung dengan penulis. Contohnya buku Maqasid: A Beginner’s Guide, saya merujuk kepada buku asalnya yang berbahasa Inggeris, dalam masa yang sama saya merujuk kepada buku edisi terjemahan dalam bahasa Arab, khasnya untuk mendapatkan petikan-petikan asal daripada teks-teks berbahasa Arab (seperti karangan-karangan silam atau thurath) dan menterjemahnya langsung daripada petikan-petikan asal, bukannya petikan yang sudah diterjemah Dr Jasser ke dalam bahasa Inggeris. Dalam beberapa keadaan, saya merujuk sendiri kepada teks-teks asal yang saya miliki, seperti saya merujuk al-Furuq oleh al-Qarafi, begitu juga dengan beberapa teks yang lain. Jika saya punya sebarang kemusykilan, saya bertanya langsung kepada Dr Jasser Auda. Yang demikian demi mendapat hasil yang terbaik.

Saya juga lebih mengekalkan perkataan-perkataan yang berkait dengan disiplin al-fiqh, Usul al-Fiqh dan Maqasid, setelah melakukan penjelasan pada awal sebutannya. Hal yang demikian supaya pembaca boleh memahami konteks perbincangan dan mengikuti penulisan dengan lebih tepat (berdasarkan pandangan saya), kerana bukan semua perkataan wajar diterjemah ke bahasa Melayu, sebahagiannya saya lebih memilih untuk mengekalkannya, atau kadang-kadang meletakkan kurungan-kurungan tertentu. Itu juga umumnya apa yang saya lakukan semasa menterjemah tulisan Bayn al-Shariah wa al-Siyasah. Disebabkan buku ini ditujukan kepada umum, memudahkan bahasa perbincangan menjadi tujuan utama penulis (dan juga penterjemah), tetapi tidak dapat tidak, beberapa perkara yang menjadi identiti perbincangan barangkali lebih baik dikekalkan.

Dalam penterjemahan juga, saya lebih mengutamakan untuk mengekalkan maksud ayat asal secara literal, kecuali apabila jika dikekalkannya secara “literal”, menghasilkan kesalahfahaman. Maka ketika itu (dalam keadaan tertentu), saya menterjemahkan dengan penggabungan antara “literal dan maksud yang dimahukan penulis”.

Saya (kiri) dan Dr Zulkifli yang menyemak dan melakukan suntingan terhadap buku terjemahan.


Dengan segala kekurangan, saya sangat berharap saya telah melakukannya dengan sangat baik. Adapun sebarang kritikan, pembetulan dan teguran, saya sangat mengalu-alukannya, demi kebaikan akan datang. Terima kasih kepada beberapa pihak yang membantu dan memberi sokongan, juga khasnya kepada Dr Zulkifli Hasan kerana sudi menyemak terjemahan yang saya lakukan. Akhirnya, Prof Dr Jasser ialah seorang sarjana multidisciplinary (Phd dalam bidang kejuruteraan dan pengajian Islam) yang sedang meningkat naik. Hubungan erat beliau dengan pelbagai sarjana dan ulama ummah memberikan kelebihan yang tersendiri. Semoga kita karya ini bermanfaat; membaca dengan kritikal sambil hormat, merendah diri sambil berani.

Semoga Allah swt terus memberkati dan melindungi kita semua.

Disiplin, ikhlas dan cinta,
Marwan Bukhari A. Hamid

P/s:Sekadar maklumat tambahan, asal tajuk yang dicadangkan untuk buku edisi terjemahan ini ialah "Esei-esei Tentang Maqasid dan Politik", kemudian ditukar kepada "Kunci Memahami Maqasid Shariah" dan kemudiannya diberi tajuk "Mudahnya Maqasid Shariah", tajuk yang saya secara peribadi sangat tak setujui, tetapi itulah realiti dunia perniagaan, kesarjanaan dan keilmuan berada di tingkatan bawah berbanding keuntungan.

[1] Perbualan lisan dengan Prof Dr Abdul Rahman al-Kaylani di Amman pada 8 Februari 2014, beliau menganggap karangan Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah oleh Ibn ‘Ashur sebagai yang terbaik selepas al-Muwafaqat oleh al-Shatibi.
[2] Ahmad al-Raisuni, Nazariyyah al-Maqasid ‘inda al-Imam as-Shatibi, cetakan kelima (Washington: The International Institute of Islamic Thought, 2008) hlm. 37-68, lihat juga tulisannya bertajuk Muhadarat fi Maqasid al-Shariah, cetakan pertama (Kaherah: Dar al-Salam, 2009) hlm. 58-85.
[3] Ahmad al-Raisuni, Maqasid al-Maqasid: al-Ghayat al-‘Ilmiyyah wa al-‘amaliyyah Li Maqasid al-Shariah, cetakan pertama (Beirut: Arab Network for Research and Publishing, 2013) hlm. 151.
[4] Ahmad al-Raisuni, Fiqh al-Thawrah (Kaherah: Dar al-Kalimah, 2013) hlm. 7-8
[5] Fathi al-Durayni, Khasa-is al-Tashrik al-Islami fi al-Siyasah wa al-Hukm, cetakan kedua (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2013) hlm. 12-13.

1 comments:

Unknown 5 December 2015 at 19:19  

saya mau membeli buku tersebut di mana? mohon infonya...
saya Imron Sahroni HP 081347424303 terimakasih

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP