Menuntut Kembali Makna Ramadan
Hari
berganti hari, minggu berganti minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.
Itulah kehidupan dan dunia, ia sentiasa ada permulaan baharu, sekalipun di
sebalik apa yang disebut sebagai “tamat”. Tiada perkataan tamat, yang ada ialah
permulaan demi permulaan, silih berganti tanpa henti. Bagi Muslim, salah satu
tetamu istimewa yang akan sering hadir setiap tahun ialah Ramadan, sebuah bulan yang penuh dengan
pengajaran dan disiplin. Ramadan mengajar kita banyak perkara, antaranya ialah bahawa
dalam kehidupan harus sentiasa ada waktu tertentu untuk berhenti melakukan
kebiasaan. Berhenti; merenung diri dan kehidupan, melihat persekitaran,
berbicara dgn diri - sendirian. Berhenti, untuk terus bergerak. Bergerak, dan
tahu bila harus berhenti.
Berhenti dari kebiasaan, cari kembali makna dan erti. |
Disebabkan itu pada
Ramadan, Muslim tidak dibenarkan melakukan sebahagian perkara kebiasaan yang
telah menjadi rutin; berhenti dari makan, minum, hubungan seks antara suami
isteri (pada siang hari) dan beberapa perkara lagi. Lebih dari itu, Ramadan
mendidik manusia supaya berhenti melakukan kebiasaan “dalaman”, bukan sekadar
hal-hal zahir. Justeru ia berkait dengan menguasai diri sendiri, kerana
“sesiapa yang menguasai dirinya, dia akan dapat mencapai tujuan dan matlamat
kehidupannya.” Sehinggakan, seseorang yang berpuasa dilarang menyebut perkataan-perkataan
buruk, malahan jika ada seseorang mencela dan melukakannya, dia dianjurkan oleh
Nabi SAW supaya menjawab; “Sesungguhnya aku berpuasa, aku berpuasa.”[1]
Ramadan mengajar; persekitaran cuba memberitahu kita supaya mudah emosional, tapi spiritual dan intelektual mendidik kita supaya kekal tenang; berfikir sebelum bertindak. Ia suatu yang sukar, kerana memerlukan disiplin yang kuat dan latihan berterusan. Untuk itu, Ramadan datang sebagai sebuah kursus dan sesi latihan; belajar mencintai manusia, belajar memaafkan, membantu orang memerlukan, belajar untuk berhenti dari kebiasaan lalu fokus hal-hal yang lebih bererti dan sebagainya.
Ramadan mengajar; persekitaran cuba memberitahu kita supaya mudah emosional, tapi spiritual dan intelektual mendidik kita supaya kekal tenang; berfikir sebelum bertindak. Ia suatu yang sukar, kerana memerlukan disiplin yang kuat dan latihan berterusan. Untuk itu, Ramadan datang sebagai sebuah kursus dan sesi latihan; belajar mencintai manusia, belajar memaafkan, membantu orang memerlukan, belajar untuk berhenti dari kebiasaan lalu fokus hal-hal yang lebih bererti dan sebagainya.
Perkara-perkara yang
telah disebut di atas merupakan antara makna dan erti Ramadan yang kita
(Muslim) harus tuntut kembali. Pada hari dan zaman di mana makna dan maqasid
Ramadan seakan-akan terpinggir jauh dari manusia moden, kita harus mengingatkan
semua bahawa di sebalik Ramadan, ada makna dan tujuan besar yang datang
bersama-samanya. Ia telah dan sedang dilupakan sesetengah manusia, lalu Ramadan
menjadi seperti bulan lain, bahkan lagi teruk Ramadan menjadi bulan untuk
manusia lebih menuruti hawa nafsu ketimbang bulan-bulan yang lain. Pertikaman
lidah dan pergaduhan antara manusia seperti lebih hebat pada Ramadan, konsumerisme
dan berbelanja mewah menjadi-jadi, menambah bilangan golongan ditindas dan
Ramadan menjadi alasan segelintir pihak untuk tidak produktif dalam aktiviti
harian.
Maqasid al-Sawm dalam
Teks Tradisi
Al-Sawm (puasa) yang datang serentak dengan Ramadan memberi pemaknaan amat
besar apabila diteliti ertinya. Al-sawm menurut sarjana silam terkenal –
al-Raghib al-Asfahani (meninggal 502 H) – pada asalnya ialah “menahan dari
perbuatan; sama ada makan, bercakap atau berjalan. Untuk itu, disebut terhadap
kuda yang ditahan daripada berjalan, atau makan: ia disebut sebagai sa-im
(yang menahan diri).”[2]
Menurut erti itu, puasa bukan sekadar untuk berhenti makan minum sebagaimana
dianggap sebahagian pihak, bahkan melampaui itu, puasa dalam erti fiqh
al-batin, iaitu menahan diri dari segala keburukan seperti bercakap lucah,
mencela, memukul manusia dan mengganti lalu menghias diri dengan
perlakuan-perlakuan baik seperti memaafkan, bercakap hal-hal yang baik atau
diam, membantu manusia dan sebagainya. Berdasarkannya, kita dapat faham bahawa
puasa dan Ramadan membawa mesej penting iaitu persoalan etika dan moral suatu
yang tetap (thabit) dan tidak tertakluk pada zaman dan masa tertentu
semata-mata. Lebih dari itu, jika kita ingin melihat kebaikan dan perubahan
pada persekitaran dan dalam masyarakat, kita mesti terlebih dahulu menjadi
kebaikan dan perubahan yang diimpikan.
Persoalan makna dan
erti sesuatu praktis agama itulah disebut sebahagian sarjana sebagai maqasid
(tujuan-tujuan) sesebuah perintah, larangan dan pernyataan. Sebahagian
menyebutnya sebagai al-hikam wara al-ahkam (kebijaksanaan-kebijaksanaan
di sebalik hukum-hakam). Abd al-Rahim Ahmad Qamhiyyah telah melakukan suntingan
dan semakan terhadap beberapa manuskrip karangan sarjana silam unggul, al-Izz
Abd al-Salam (meninggal 660 H). Abd al-Rahim telah menyusun tiga buah karangan
al-Izz berkaitan solat, puasa dan haji, lalu menyusunnya dalam satu buku yang
diberi nama maqasid al-‘ibadat[3].
Persoalan mencari makna dan hikmah di sebalik sesuatu praktis bukanlah suatu yang asing, malahan dalam beberapa tempat dalam al-Quran dan al-Hadis, hikmah dan erti disebut secara langsung dalam kedua-dua teks tertinggi Islam itu. Terdahulu dari al-Izz ialah al-Tirmidhi al-Hakim (296 H) yang menulis karangan bertajuk al-Salah wa Maqasiduha dan al-Hajj wa Asraruh. Demikian juga beberapa penulis lain yang menulis sama ada secara langsung atau tidak langsung, seperti al-Ghazali (meninggal 505 H) dalam Ihya’ Ulum al-din dan Bidayah al-Hidayah karangannya.
Persoalan mencari makna dan hikmah di sebalik sesuatu praktis bukanlah suatu yang asing, malahan dalam beberapa tempat dalam al-Quran dan al-Hadis, hikmah dan erti disebut secara langsung dalam kedua-dua teks tertinggi Islam itu. Terdahulu dari al-Izz ialah al-Tirmidhi al-Hakim (296 H) yang menulis karangan bertajuk al-Salah wa Maqasiduha dan al-Hajj wa Asraruh. Demikian juga beberapa penulis lain yang menulis sama ada secara langsung atau tidak langsung, seperti al-Ghazali (meninggal 505 H) dalam Ihya’ Ulum al-din dan Bidayah al-Hidayah karangannya.
Sebagaimana beragama
ada tujuan, makna dan ruhnya, demikian juga hal-hal lain dalam pengamalan
agama, termasuk dalam perbincangan kita ini ialah puasa dan Ramadan. Al-Izz
sebagai contoh menyebut selain menyebut tentang hukum-hakam dalam karangannya
tersebut, beliau menyentuh tentang tujuan dan makna puasa khasnya pada bab fi
fada-ilihi (kelebihan-kelebihan puasa) dan fi adabihi (adab-adab
puasa) . Antara kelebihannya menurut beliau ialah “mengangkat darjat keimanan
orang yang mengerjakannya, menggugurkan dosa-dosa, menentang syahwat,
memperbanyak sedekah, menambah ketaatan, mensyukuri Yang Maha Mengetahui
perkara-perkara tersembunyi dan menahan dari menderhakai Tuhan”[4].
Al-Ghazali pula dalam
Bidayah al-Hidayah karangannya, semasa membahaskan bab Aadab al-Siyam,
beliau menyatakan:
“Dan janganlah kamu
menyangka apabila kamu telah berpuasa bahawa puasa itu hanyalah meninggalkan
makan, minum dan tempat tidur (bermaksud: jimak antara suami isteri) sahaja,
telah berkata Rasulullah SAW: betapa ada orang yang berpuasa, tiada baginya
apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.
Malahan penyempurna
puasa itu ialah: dengan menahan anggota-anggota seluruhnya dari apa yang Allah
ta’ala benci, bahkan kamu hendaklah memelihara mata daripada memandang
perkara-perkara yang dibenci, (memelihara) lisan dari menyebut dengan apa yang
tak memberi erti kepadamu dan (memelihara) telinga dari mendengar apa yang
Allah ta’ala haramkan, sesungguhnya orang yang mendengar merupakan rakan kongsi
kepada orang yang berkata, ia merupakan salah seorang dari orang yang
mengumpat. Demikianlah kamu
menahan seluruh anggota sepertimana kamu menahan perut dan kemaluan!”[5]
Al-Ghazali dan al-Izz
merupakan antara sebilangan sarjana silam yang berbicara dengan tuntas soal makna
di sebalik praktis ibadat, atau lebih khusus dalam tulisan ini sebagai tujuan
dan erti di sebalik. Persoalan rahsia dan “apa di sebalik apa” menjadi lontaran
amat bermakna. Perkara “rahsia” dan “apa di sebalik apa” juga merupakan antara
mesej penting yang dinyatakan langsung dalam teks-teks wahyu, contohnya dalam
beberapa ayat al-Quran yang menyebut langsung tentang Ramadan dan puasa.
Selain itu, saya
melihat sepatutnya antara yang menjadi maqasid Ramadan juga ialah
mengukuhkan kefahaman tentang kandungan al-Quran. Sebahagian Muslim hanya
melihat Ramadan dan “kuantiti” bacaan al-Quran, mereka tidak melihat “kualiti”
kefahaman akan al-Quran. Ramadan ialah bulan diturunkan al-Quran; baca dan
tadabbur al-Quran, ia adalah kisah cinta dan kemanusiaan. Antara kehebatan
al-Quran ialah kesetiaannya dalam persahabatan. Lalu orang yang lazim
membacanya akan resah, gelisah dan seperti ada yang tak kena jika dalam satu
hari belum membaca al-Quran. Demikian juga antara kehebatannya ialah
setiap kali kita mentadabbur ayat-ayatnya, kita sentiasa menemui sesuatu yang
baharu sebagai panduan. Al-Quran mengajar kita supaya memikul doa-doa
kemanusiaan kita ke ruang-ruang sosial, demi mengubat derita insan.
Al-Taqwa dan krisis
spiritual
Al-Quran
mendengungkan kenyataan yang terang dan jelas mengenai apa yang dimahukan
menerusi Ramadan dan puasa. Antaranya ayat 2: 138 yang bererti:
“Wahai
orang-orang yang beriman, ditulis ke atas mu kewajipan berpuasa sebagaimana
ditulis ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Failasuf al-Quran, Muhammad Abdullah Diraz (meninggal 1958 M) menyebut dalam tulisannya
bertajuk al-Sawm: Tarbiyah wa Jihad bahawa ayat tersebut tidak menyebut
“supaya kamu sakit” (melihat kepada sesetengah tradisi beragama yang mengaitkan
pengalaman kerohanian dengan menyakiti diri sendiri), “supaya kamu sihat” atau
“supaya kamu bersederhana (sekalipun kesihatan dan bersederhana itu antara
hikmah dari pengamalan puasa)”. Sebaliknya Tuhan “menjadikan puasa sebagai
pengalaman kerohanian dan akhlak, selain Dia mahu puasa menjadi jalan untuk
mencapai sifat-sifat golongan bertakwa, dan menjadi alat untuk memperoleh ketakwaan.”[6]
Menurut perspektif
Islam, takwa merupakan pencapaian tertinggi dalam dunia spiritual, bahkan dunia
kemanusiaan. Oleh yang demikian kita melihat, al-Quran (dan juga beberapa
hadis) menyebut bahawa kemuliaan manusia itu diukur berdasarkan ketakwaan
(49:13). Ayat dalam surah 49 (al-Hujarat) itu sebahagian besarnya merupakan
perbahasan tentang etika-etika social seperti larangan mengumpat, larangan
bersangka buruk, larangan menyebarkan berita tanpa kritikal dan soal selidik,
larangan memandang rendah kepada manusia lain, larangan dari menumpahkan darah
dan kewajipan memelihara persaudaraan, selain surah itu didahului dengan arahan
supaya beradab dengan Rasulullah SAW. Ia suatu perbahasan tentang “memanusiakan
manusia” dan soal amat dalam betapa apabila bertanya tentang kualiti spiritual,
bererti bertanya tentang sejauh mana hubungan kita dengan manusia.
Muhammad al-Ghazali
(meninggal 1996 M) dalam ‘Ilal wa Adwiyah mengulas dengan menarik kaitan
antara surah al-hujurat dan surah seterusnya iaitu surah Qaaf. Al-Hujurat
merupakan surah madaniyyah (diturunkan selepas hijrah Nabi saw) dan Qaaf
pula merupakan surah makkiyah (diturunkan pada awal era Islam sebelum hijrah Nabi saw). Kebiasaannya antara ciri makkiyyah
ialah berfokus soal teras keimanan, akhlak dan seumpamanya, sebaliknya
kebiasaannya surah madaniyyah memberi fokus tentang system
bermasharakat, kehidupan, peraturan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, ringkasnya menurut Muhammad al-Ghazali, datangnya surah Qaaf (selepas surah al-Hujurat)yang membicara secara tuntas soal teras-teras keimanan mengisyaratkan bahawa etika-etika yang mulia dan nilai-nilai yang tinggi itu lahir dari penghayatan keimanan yang unggul.[7] Teknik kupasan yang dilakukan oleh al-Ghazali itu tidak asing dalam tradisi ilmu tafsir, ia merupakan apa yang disebut sebagai munasabah al-suwar wa al-ayy (kesesuaian antara surah-surah dan antara ayat-ayat), antara tokoh terkenal dalam bidang tersebut ialah al-Biqa’I (meninggal 885 H) dalam beberapa teks pentingnya seperti Masa’id al-Nazar Li al-Ishraf ‘ala Maqasid al-Suwar dan Nuzum al-Durur fi Tanasub al-Ayy wa al-Suwar, demikian juga al-Shatibi (meninggal 790 H) dalam al-Muwafaqat fi Usul a-Shariah, al-Razi (meninggal 606 H) dan lain-lain.
Oleh yang demikian, ringkasnya menurut Muhammad al-Ghazali, datangnya surah Qaaf (selepas surah al-Hujurat)yang membicara secara tuntas soal teras-teras keimanan mengisyaratkan bahawa etika-etika yang mulia dan nilai-nilai yang tinggi itu lahir dari penghayatan keimanan yang unggul.[7] Teknik kupasan yang dilakukan oleh al-Ghazali itu tidak asing dalam tradisi ilmu tafsir, ia merupakan apa yang disebut sebagai munasabah al-suwar wa al-ayy (kesesuaian antara surah-surah dan antara ayat-ayat), antara tokoh terkenal dalam bidang tersebut ialah al-Biqa’I (meninggal 885 H) dalam beberapa teks pentingnya seperti Masa’id al-Nazar Li al-Ishraf ‘ala Maqasid al-Suwar dan Nuzum al-Durur fi Tanasub al-Ayy wa al-Suwar, demikian juga al-Shatibi (meninggal 790 H) dalam al-Muwafaqat fi Usul a-Shariah, al-Razi (meninggal 606 H) dan lain-lain.
Oleh yang demikian,
boleh dinyatakan bahawa menurut kerangka Islam, persoalan ketakwaan yang
merupakan asas terpenting dalam mengukur pencapaian spiritual seseorang
terletak pada sejauh mana kesan baiknya dalam kehidupan keduniaan. Hal ini
berbeza dengan ukuran spiritual yang wujud pada hari ini seperti pengalaman dan
perjalanan spiritual lebih dikaitkan dengan pengasingan diri dari masharakat
dan persekitaran. Bertanya tentang kualiti ketakwaan ialah bertanya tentang
sejauh mana kita membantu orang yang miskin dan memerlukan. Konsep pengasingan
diri secara total tiada dalam konsep spiritual Islam, adapun memperuntukan masa
menyendiri, ia punya hubungan amat erat dengan spiritual; iaitu waktu berhenti
dari kebiasaan, merenung kehidupan dan sentiasa menghitung kekurangan diri
untuk dibaiki. Sebagai contoh, solat dan galakan untuk berzikir yang punya
asasnya dalam tradisi Islam.
Disebabkan itu, kita
mendapati ukuran keimanan dan kekuatan spiritual menurut kerangka Islam berkait
dengan sejauh mana kualiti interaksinya dalam kehidupan. Ayat al-Quran dan
hadis bertalu-talu mengingatkan soal kehidupan sebagai bumi ujian, justeru
untuk hidup ialah untuk bersedia dan proaktif mendepani pelbagai cabaran dan
ujian. Oleh itu, persoalan ukuran keimanan bukan sekadar berdasarkan keilmuan
seseorang, tetapi sejauh mana kekuatannya untuk terus berdaya saing dalam
menjadi baik dan berbuat baik dalam kehidupan. Satu lagi persoalan spiritual
yang sentiasa timbul ialah hubungan antara spiritual dan disiplin. Suatu yang
wujud dalam pelbagai tradisi agama ialah persoalan menguasai diri, “sesiapa
yang berjaya menguasai dirinya, dia akan berjaya.” Puasa (dan amalan-amalan
ritual yang lain) juga membawa mesej disiplin tersebut; disiplin dengan Tuhan,
disiplin dengan masa, disiplin dengan pekerjaan dan sebagainya.
Konsumerisme menanggalkan makna beragama dan kemanusiaan
Seyyed Hossein Nasr
telah mengulas dan mengkritik dengan terang dalam karyanya bertajuk Man and
Nature mengenai krisis segelintir manusia moden dengan persoalan-persoalan
bersifat “supra-rational” seperti kesucian (sacredness), Tuhan,
“alam yang hidup” dan sebagainya. Hal tersebut akhirnya memberi kesan seperti
“mematikan” ruh dan rahsia yang menjadi antara unsur dalam hidup berlandaskan
tradisi agama dan kepercayaan. Dalam bukunya itu, sudah tentu persoalan
kebiadapan dan nihil rasa kemanusiaan dan kebertanggungjawapan yang menjadi
antara elemen bermasalah antara manusia moden dan alam yang akhirnya mencipta
“pertembungan” antara kedua-duanya.
Hakikatnya, ulasan
Nasr tersebut merupakan satu juzuk daripada kehidupan seluruhnya yang ditimpa
krisis sebegitu rupa. Akibat tiada upaya melihat secara mata kasar “apa di
sebalik apa”, maka ia dianggap sebagai tidak rasional, khayalan dan sebagainya.
Menerusi bicara kita demi menuntut kembali makna Ramadan ini, kita akan
meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari
kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam. Jenama-jenama dan
kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadan yang wajar
dikejar. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum
datangnya Ramadan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan
besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca.
Makna Ramadan di sebalik cabaran konsumerisme |
Lebih jauh lagi, kita
melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi
melariskan lagi barang-barang perniagaan; termasuk kurma, pakaian keAraban dan
sebagainya. Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia
berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadan dan sebelumnya. Justeru suatu yang
sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi
suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada
bulan Ramadan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang
jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding
pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim
“beribadah”.
Jika Santa Klaus yang
“suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme dalam melariskan
lagi perniagaan kaum pemodal, dalam sesetengah masharakat Islam, kadang-kadang
ia berlaku terhadap sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan
khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos-kos
yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah
yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih
mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak
cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita
pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks!
Beberapa perenggan
tersebut merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh
konsumerisme, hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang
lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual
yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu
yang jelas dilihat praktis-praktis keagamaan dalam Islam ialah ia sentiasa akan
dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa
pada bulan Ramadan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan
begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin
dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada
tempat yang tak sepatutnya. Akibat ragutan itu, ia menjadikan Ramadan bukan
lagi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih
berbelanja berbanding bulan-bulan lain. Ramadan yang mengajar tentang
kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara
kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya
ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadan seperti pertandingan
“majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan.
Pantulan dan khatimah
Isu-isu berkaitan
kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang
tidak berkesudahan. Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang
sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku
terkenalnya History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik
menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a
Future?; ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama
makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar
punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada
kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil
perhatian:
“Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will
fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism
are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for
the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for
some lessons and warnings.”[8]
Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta
keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi
beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata
Armstrong, jika kita persoalan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam
faham kita tentang Ramadan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi
dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadan dan
amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak kepada melihat kembali teks-teks dan ulasan
sarjana silam tentang apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadan ialah satu
usaha mengelak kehampaan makna berlangsung serius.
Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal
1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan
hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn
Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy
dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang
mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat
beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masharakat yang sudah
hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi
dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang
diperoleh sepanjang berada di pulau.
Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy
melihat dengan matanya sendiri, masharakat yang lebih maju darinya ditimpa
kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan
erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum
beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa
melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak
mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke
pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi.[9]
Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya
beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan
makna dalam beragama. Itulah yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan
praktis beragama, salah satunya Ramadan dan puasa. Ramadan dan puasa hanya
contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara
keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadan dan beragama ialah satu
kemestian, dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan;
bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan bagaimana kita berinteraksi
dengan kehidupan. Berhenti dari hal-hal kebiasaannya, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti.
[1]
Al-Bukhari (1904), Muslim (1151) (163).
[2] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa
bin al-Adawi, cetakan pertama, (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 373.
[3]
Al-Izz Abd al-Salam, Maqasid al-Ibadat, suntingan Abd al-Rahim Ahmad
Qamhiyyah, cetakan pertama, (Hims: Matba’ah al-Yamamah, 1995)
[4]
Al-Izz Abd al-Salam, Maqasid al-Sawm, suntingan Iyad Khalid al-Tabba’,
cetakan kedua, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1995), hlm. 10.
[5]
Al-Ghazali, Bidayah al-Hidayah, cetakan kelima, (Kaherah: Dar al-Salam,
2010), hlm. 141-142.
[6]
Muhammad Abdullah Darraz, al-Siyam: Tarbiyah wa Jihad, cetakan pertama,
(Amman: Jam’iyyah al-Muhafazah ‘ala al-Quran al-Karim, 2014) hlm. 42.
[7]
Al-Qaradawi, al-Shaykh al-Ghazali Kama ‘Araftuhu, cetakan kedua,
(Kaherah: Dar al-Shuruq, 2008), hlm. 118-119.
[8]
Karen Armstrong, History of God, (US: The Random House Publishing Group,
1993), hlm. 171.
[9] Ibn
Tufail, Hayy Ibn Yaqazhan, suntingan Dr Farouk Sa’ad cetakan kelima, (Beirut:
Dar al-Afaq al-Jadidah, tanpa tarikh), hlm. 220-234.
0 comments:
Post a Comment