|
Tulisan ini merupakan terjemahan kepada tulisan asal oleh Prof Dr Jasser Auda (gambar) bertajuk "Hal Siyasah al-Rasul Tulzimuna Shar'an?", salah satu tajuk dalam bukunya yang berjudul "Syariah dan Politik: Persoalan Pasca-Revolusi" (Bayn al-Shariah wa al-Siyasah: As-ilah Li marhalah ma ba'd al-Thawrah). |
Tidak mungkin kita
berbicara tentang “pelaksanaan Syariah” dalam realiti negara tanpa membezakan
antara apa yang merupakan perakuan dan perbuatan Nabi saw menurut jalan
pensyariatan (tashri’) dan apa yang dilakukan semata-mata atas faktor
dirinya sebagai manusia dan bukan
merupakan pensyariatan, dan apa yang dilakukan menurut jalan “kepemimpinan” (al-Imamah),
atau apa yang kita sebutkannya dengan bahasa semasa sebagai al-siyasat
(hal-hal berkaitan politik).
Adapun tashri’,
ia merupakan wahyu Tuhan yang tetap dan tidak berubah, adapun apa yang datang
daripada Nabi saw atas sebab perbuatan hariannya sebagai manusia (contohnya
tiada pensyariatan padanya daripada pakaian, makanan, minuman, peralatan,
perubatan,kenderaan, kelengkapan rumah, perhiasan, bangunan dan lain-lain), ia
tidak wajib kepada manusia melainkan beberapa individu mengikuti Nabi saw dalam
perkara-perkara itu atas faktor kebersangatan, meneladani dan kecintaan dalam
diri mereka. Adapun apa yang menurut faktor hal-hal kepolitikan – menerusi jenisnya
yang pelbagai – maka pengajarannya di sini ialah berdasarkan makna, prinsip dan
tujuan-tujuan yang telah kami sebutkannya (dalam tajuk Membezakan Antara Hukum
dan Prinsip Syariah), bukannya berdasarkan bentuk, hukum yang telah lalu dan
keputusan-keputusan yang terbatas.
Terdapat ulama yang
menyebut pembahagian lain daripada tujuan-tujuan perbuatan Rasulullah saw lalu
mereka bertanya: “adakah Nabi saw bermaksud pensyariatan pada perkara tertentu
ataupun tidak bermaksud pensyariatan?” Ini merupakan perkara yang saling
bersilang, justeru terdapat terdapat perbuatan-perbuatan yang semestinya dimaksudkan
Rasulullah saw padanya pensyariatan, dan ia diketahui, seperti solat kerana
Nabi saw bersabda: (“solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat ”) dan
seperti haji kerana baginda saw bersabda: (“ambillah daripada aku ibadat haji
kamu”). Terdapat juga perbuatan yang semestinya tidak dimaksudkan Nabi saw
padanya pensyariatan seperti kegemarannya terhadap sebahagian makanan yang
terkenal dalam kalangan orang Arab, atau pakaiannya daripada pakaian putih
Arab, maka baginda saw tidak berkata: “makanlah labu sepertimana aku
memakannya,” “pakailah pakaian putih sebagaimana aku pakai,” “tanamlah pohon
kurma sebagaimana aku tanam,” dan “binalah rumah sebagaimana aku bina,” semua
ini daripada perkara adat iaitu Nabi saw melakukannya menerusi jalan al-jibillah
(tabiat semula jadi) seseorang manusia. Perbuatan al-jibiliyyah
semata-mata merupakan perbuatan dengan hukum persekitarannya saw dan apa yang
geografi dan sejarah jadikannya begitu.
Namun terdapat ruang
penting dalam konteks perbincangan kita yang wujud perbezaan pandangan akannya,
iaitu ruang-ruang yang kita bertanya padanya: “adakah Rasulullah saw maksudkan
menerusi perbuatannya ini supaya menjadi pensyariatan untuk setiap Muslim atau
tidak bermaksud demikian? Atau ia pensyariatan untuk sekumpulan tertentu yang
baginya fungsi-fungsi tertentu?” ia merupakan topik yang menarik. Ruang ini – iaitu antara apa yang merupakan
pensyariatan dan apa yang bukan pensyariatan – sendiri terbahagi kepada
beberapa bahagian. Imam al-Qarafi dalam karangannya al-Furuq (ia
kitab yang penting) telah membezakan antara jenis-jenis perbuatan Nabi saw,
lalu beliau rahimahullah berkata dalam bahagian ke-36:
“Terdapat perbezaan antara perbuatan-perbuatan
Nabi saw berkenaan al-qadha’ (kehakiman), perbuatannya berkaitan fatwa
dan ia adalah al-tabligh (penyampaian) dan al-Imamah
(kepemimpinan) … Perbuatan-perbuatannya berdasarkan ciri-ciri ini berbeza
kesannya dalam Shariah … Setiap apa yang beliau ungkap atau buat berdasarkan
jalan al-tabligh ia merupakan hukum umum … Adapun baginda saw
membangkitkan tentera, menguruskan harta –harta Baitul Mal, Pelantikan hakim
dan pemimpin, pembahagian harta rampasan perang dan menandatangani perjanjian,
perbuatannya padanya menerusi jalan al-Imamah bukannya selainnya.”
Oleh itu, apa yang Rasulullah saw sabda
menerusi jalan al-tabligh, maka ia wajib secara syarak kepada setiap
Muslim (adapun secara kanun, ia topik yang berbeza, kita akan sampai
perbincangannya). Apa yang Rasulullah saw sabda atas jalan al-qadha’
iaitu baginda saw menghakimi antara dua yang bertelingkah dan sesuatu kes, ia
kembali kepada para hakim sahaja dan bukannya seluruh manusia. Apa yang Nabi
saw kata atas jalan al-imamah iaitu atas jalan ‘politik’ atau apa yang
kita sebut hari ini sebagai perkara-perkara kepolitikan, keputusan-keputusan
eksekutif, prosedur-prosedur atau pentadbiran kepolitikan atau kekuasaan,
semuanya menurut pemimpin atau pada hari ini ia menurut rakyat, sebagaimana
kami akan terangkan.
Terdapat persoalan-persoalan yang dikenali
dalam fiqh yang dibezakan para ulama padanya antara apa yang hanya harus kepada
pemerintah – menurut perkataan mereka – dan apa yang harus kepada setiap
Muslim. Apa yang boleh difahami di sini ialah apa yang Nabi saw buat dengan
tujuan pelaksanaan atau perkara-perkara berkaitan politik tidak wajib ke atas
semua Muslim elainkan pada konteksnya yang terhad dan bukannya pada setiap
konteks. Apa yang wajib daripada perbuatan-perbuatan ini kepada setiap Muslim
ialah tujuan, matlamat dan makna yang dimahukan Nabi saw menerusi perbuatannya
yang mulia, bukannya semestinya perkara terperinci dalam sesuatu kes antara dua
yang bertelingkah atau perkara-perkara terperinci berkaitan perjanjian bersama
musuh tertentu atau perkara-perkara terperinci berkaitan politik dalam pelbagai
jenis hal ehwal politik, kerana pengajarannya di sini ialah kepentingan umum (maslahah
‘ammah) dan ia daripada apa berubah menurut zaman, tempat dan konteks.
Contohnya, semasa Nabi saw membahagikan
tentera ke bahagian kanan, kiri dan tengah, ini dalam bab politik, atau
sebagaimana mereka sebut, “al-Imamah”, oleh itu pembahagian ini tidak
wajib kepada umat Islam di setiap zaman dan tempat, bahkan mereka yang
membahagikan tentera, iaitu pembahagian yang mereka lihat sesuai. Apa yang
diwajibkan di sini ialah tujuan dan prinsip iaitu ketelitian pembahagian
tentera untuk kebaikan perang.
Sama dengan makna ini ialah isu
pembahagian harta rampasan perang (al-ghana-im) sekalipun ia disebut
dalam al-Quran, firman Allah:
“Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja
yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu
perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk
kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta
ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan
kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad)
pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera
(Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.”
Sekalipun hukum ini disebut dalam
al-Quran dengan jelas, namun hukum ini termasuk dalam bab hal-hal berkaitan
politik, kerana Nabi saw telah melakukan pembahagian rampasan perang ini untuk
tujuan dan matlamat tertentu yang mana berkait dengan pengagihan harta rampasan
ini ke atas tentera, seolah-olah ia merupakan gaji, ganjaran atau bayaran
kepada tentera. Contohnya apabila pemimpin memutuskan atau – sekarang – apabila
rakyat memutuskan di setiap negeri supaya berubah sistem tersebut kepada
gaji-gaji askar dan untuk setiap peringkat ada gaji yang berbeza dan ada
syarat-syarat untuk kenaikan … hingga akhirnya. Penggajian, kenaikan dan sistem
baharu ini tidak ‘bercanggah’ dengan sistem harta rampasan perang, kerana
sistem harta rampasan perang asanya merupakan hal berkaitan politik dan
bukannya syariah yang wajib, dan adalah tujuan Nabi saw dalamnya merupakan hal
pengurusan. Oleh itu, ikutan kita secara syaraknya di sini bukannya ikutan
secara literal, tetapi ikutan yang bersifat maqasid dan makna, tiada
mana-mana sarjana Muslim hari ini berkata tentang kewajipan pembahagian harta
rampasan perang dengan jalan yang disebut dalam al-Quran atau al-Sunnah kerana
ia merupakan wasilah yang telah luput zamannya.
Persoalan ini benar-benar menyerupai
persoalan-persoalan lain yang banyak perdebatan seputarnya, iaitu arahan-arahan
Nabi saw kepada sahabatnya yang dimahukan menerusinya hanyalah maksud
kepolitikan tertentu yang berkait dengan bukan Muslim dalam masyarakat pada
masa itu. Contohnya persoalan jizyah ke atas bukan Muslim, perhambaan tawanan
perang dan arahan-arahan kepolitikan lain yang Nabi saw tidak bermaksud padanya
pensyariatan seperti pensyariatan Islam yang tetap ke atas umat Islam hingga
hari kiamat. Sebaliknya yang dimaksudkan menerusi persoalan dan prosedur ini
seluruhnya ialah tujuan dan matlamat tertentu. Apabila direalisasi
tujuan-tujuan ini dengan jalan-jalan lain, maka jalan-jalan lain turut sah dan
Islamik juga. Yang demikian kerana persoalan-persoalan ini bukanlah hal-hal
ibadat dan bukan menjadi tujuan sendirinya. Oleh itu, sesungguhnya kita pada
zaman ini hendaklah memahami dengan baik bahawa terdapat nas-nas wasa-il
(jalan-jalan/mekanisme) dan nas-nas yang merupakan tujuan-tujuan (maqasid),
dan kita hendaklah membezakan antara jalan dan tujuan, meskipun ia dinaskan
dalam kitab Allah taala.
Sebagai contoh, semasa Allah taala
berfirman dalam kitabnya yang mulia:
“Dan sediakanlah untuk menentang
mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan
dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia”
Pasukan-pasukan berkuda dalam ayat
tersebut merupakan jalan sekalipun ia disebut dalam al-Quran, dan bukan setiap
apa yang disebut dan dinaskan secara jelas dalam al-Quran, bertukar menjadi
tujuan sendirinya dengan literalnya dan kedudukannya sebagai wasilah.
Sebaliknya kita mesti bertanya – dan ini sudah tentu merupakan peranan sarjana
yang mujtahid – soalan berikut: “adakah ini merupakan jalan menuju tujuan?
Ataupun ini merupakan tujuan yang dimaksudnya sendirinya?” Sekiranya ia
termasuk dalam bab jalan seperti kuda, pedang, harta rampasan dan jizyah, maka
jalan itu berubah dengan perubahan zaman, tempat, keadaan dan individu. Adapun
jika ia termasuk dalam bab tujuan, maka tujuan itu tetap dan tidak berubah. Ini
merupakan pengajaran yang penting ketika kita berfikir dalam pelaksanaan
Syariah pada realiti semasa.
Saya mengulang di sini bahawa
perkara-perkara politik ini tidak termasuk padanya persoalan-persoalan yang
mana tujuannya ialah al-ta’abbud (pengibadatan), iaitu ibadat
semata-mata dan menuruti dengan literal, yang demikian sebagaimana kata Imam
al-Shatibi yang merupakan Imam yang dikenali dari kalangan sarjana al-maqasid:
“Asal dalam urusan ibadat ialah al-ta’abbud
tanpa berpaling kepada tujuan-tujuan dan asal padanya ialah tidak dilakukan
kecuali dengan keizinan, memandangkan tiada ruang untuk akal dalam mereka cipta
hal-hal ibadat. Sementara apa yang termasuk dalam perkara kebiasaan manusia,
maka asal padanya ialah berpaling kepada tujuan-tujuan dan asal padanya ialah
keizinan sehingga ada dalil menunjukkan sebaliknya.”
Justeru asal dalam perkara interaksi
antara manusia (al-mu’amalat) ialah melihat kepada makna, prinsip, niat,
tujuan dan matlamatnya yang tinggi, bukan semestinya melihat kepada bentuk,
literal dan rupanya kerana bentuk dan rupa berubah dengan perubahan zaman,
tempat dan kebiasaan yang dikenali setempat. Ini memberikan keanjalan dalam
kefahaman Syariah Islam pada waktu yang kita sangat berhajat kepadanya
(keanjalan) pada peringkat ini. Tetapi asal dalam urusan ibadat yang melibatkan
antara manusia dan Tuhannya ialah melihat kepada bentuk dan rupa kerana
ketaatan daripada hamba untuk Tuhan ini merupakan tujuan secara sendirinya.
Kenapa al-Shatibi menyebut: al-Asl
(asal)? Kerana di sana terdapat pengecualian. Telah berkata para sarjana
seperti al-Tufi dan beliau merupakan antara Imam besar mazhab Hanbali, beliau
berkata sesungguhnya al-muqaddarat (iaitu apa yang ditetap kadar
bilangannya) ia tetap dan termasuk dalam kategori ibadat. Iaitu contohnya 2.5 %
dan kadar secara umumnya dalam persoalan-persoalan zakat, bilangan talak yang
tiga, tiga bulan dalam tempoh ‘iddah (tempoh yang wajib ditunggu oleh
seorang balu atau yang diceraikan sebelum boleh berkahwin dengan lelaki lain)
dalam persoalan kekeluargaan dan lain-lain. Iaitu apa yang termasuk dalam kadar
yang telah ditentukan secara spesifik yang disepakati tanpa khilaf akan tafsirannya
oleh para ulama, maka ia merupakan dari kategori ibadat dan wajib kita
mengambilnya dengan pengibadatan, kerana pengibadatan merupakan tujuan padanya.
Meskipun perkara-perkara al-mu’amalat
yang disebut ini berkait dengan keluarga dan zakat, iaitu interaksi antara
manusia dalam masyarakat, namun ia merupakan hal interaksi antara manusia dan
separuhnya merupakan ibadat kerana ia merupakan kefarduan dan kewajipan agama
yang ditetapkan, separuh lagi merupakan hal-hal interaksi antara manusia kerana
ia berkait dengan harta yang diberi oleh golongan kaya kepada golongan fakir
demi hikmah-hikmah kemasyarakatan dan ekonomi yang tertentu. Hikmah-hikmah
tersebut contohnya: “... supaya harta itu tidak hanya berlegar-legar di antara
orang-orang kaya dari kalangan kamu”,
berlegar-legar dalam ayat ini bermaksud monopoli harta dalam kalangan golongan
kaya semata-mata. Ia merupakan maksud kerana perkataan “kay” (supaya)
yang disebut dalam ayat tersebut merupakan sababiyyah (memberi maksud
sebab). Antara hadis Nabi saw tentang zakat: (diambil daripada orang kaya dalam
kalangan mereka dan diberi kepada golongan fakir dalam kalangan mereka).
Justeru zakat dalam contoh ini merupakan perkara mu’amalat kerana
baginya tujuan dan matlamat berkaitan kemasyarakatan dan ekonomi, juga ibadat
padanya iaitu kadar, nilai, bilangan dan nisbah.
Adapun contohnya jika kita melihat
kepada isu lain yang berkaitan dengan zakat iaitu disebut sebagai isu “wi’a’
al-zakah” iaitu apakah jenis dan harta yang wajib dikeluarkan zakat
daripadanya? Isu ini bukanlah ditetapkan dan bukan dilihat secara literal. Di
sini contohnya kita mendapati sedikit dari kalangan ulama mengambil secara
literal seperti Imam Ibn Hazm al-Andalusi al-Zahiri yang menulis:
“Tiada zakat melainkan pada lapan
jenis harta sahaja iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma, unta, lembu dan
kambing sahaja ... Berhubungnya telah datang sunnah ... Tiada zakat pada
sesuatu daripada buah-buahan, pertanian dan tiada pada apa selain apa yang kami
sebutkan dan tiada pada kuda, kepingan logam, madu dan harta perniagaan.”
Jenis-jenis yang terhad untuk zakat
yang disebut dalam hadis Nabi saw merupakan tujuan sendirinya menurut pandangan
Ibn Hazmi. Pandangan sempit yang literal terhadap nas-nas tanpa melihat kepada
matlamat, tujuan dan maknanya membawa kepada pemikiran, sesiapa yang memiliki
lima ekor unta hendaklah membayar zakat, sebaliknya sesiapa yang memiliki satu
telaga petrol contohnya, tidak perlu membayar zakat! Sesiapa yang memiliki emas
contohnya hendaklah membayar zakat tetapi orang yang memiliki berlian tidak
perlu membayar zakat! Pandangan ini salah kerana ia menafikan keadilan yang
menjadi tujuan pada asalnya.
Namun jalan berbentuk sebegini dalam
berfikir terhasil daripada fatwa-fatwa literal – dahulu atau sekarang – yang
dekat kepada jenaka berbanding fatwa dan tidak elok untuk apa-apa pemikiran
yang bagus dalam pelaksanaan Syariah pada zaman kita. Yang demikian meskipun
keagungan Imam Ibn Hazm yang merupakan failasuf besar, Imam yang hebat dalam
Fiqh, Usul al-Fiqh, sejarah agama-agama dan dalam ilmu hadis, selain merupakan
penyair yang terkemuka, tetapi lihatlah sebagai contoh kepada satu hadis yang
datang daripada Nabi saw mengenai “lelaki yang kencing dalam air, lalu Nabi saw
berkata: janganlah seseorang daripada kamu kencil dalam air yang bertakung”
di mana Ibn Hazm membuat komentar ke atasnya dengan berkata: “Apabila seseorang
kencing dalam bekas kemudian mencurahnya ke dalam air, air itu tidak bernajis
(ia sangat aneh!). sebagaimana komentarnya ke atas hadis yang dinyatakan oleh
Nabi saw bahawa keizinan seorang perempuan dara berhubung perkahwinannya cukup
dengan diamnya – iaitu lantaran malu, di mana Nabi saw berkata: “keizinannya
ada pada diamnya”, lalu Ibn Hazm menyebut dalam kitabnya (al-Muhalla bi
al-Athar) bahawa jika perempuan dara itu berkata “ya”, terbatallah akad
perkahwinan.
Manhaj berfikir dalam pelaksanaan
perkara berkaitan al-mu’amalat dan politik Islam dalam realiti kita pada
hari ini, jika kita mengambilnya dengan literal, kita akan sampai kepada
keputusan yang tidak logik dan tidak boleh diterima, sebagaimana kita lihat
pada zaman kita menerusi sebahagian aliran Islam dan golongan yang Shaykh
al-Qaradawi namakan sebagai al-Zahiriyyah al-Judud (Literal baharu)!
Sebaliknya, apabila kita mengambil
manhaj berfikir yang melihat kepada makna dan prinsip sahaja tanpa meletakkan
disiplin dan pengikat, seperti ibadat, kadar-kadar dan selainnya daripada
disiplin-disiplin ijtihad yang kami telah sebutkannya, kita akan sampai kepada
makna yang longgar yang menganggap setiap perkara di bawah erti kebebasan,
fitrah atau bahkan keadilan. Apa yang kita perlu ialah manhaj pertengahan
antara literal dan melihat kepada tujuan dalam berinteraksi dengan apa yang
kita kenali dalam petunjuk Rasulullah saw dan daripada nas-nas al-Quran.
Perbincangan ini seluruhnya berkait
dengan pengamalan Islam pada peringkat individu atau hingga ke peringkat
masyarakat. Adapun apa yang berkait dengan pengamalan Islam yang merupakan
perundangan yang diwajibkan ke atas negara dan undang-undang, ia persoalan yang
perlu kepada penjelasan yang lebih banyak, akan menyusul nanti.
Read more...