Tuesday, 24 December 2013

Ucapan Perayaan Bukan Muslim: Dari Hukum, Ke Tujuan dan Nilai

Persaudaraan kemanusiaan harus terus diangkat dan diperkukuh.


1)     Perbahasan mengenai hukum kepada Muslim dalam mengucapkan tahniah atas perayaan penganut agama lain sentiasa timbul, khasnya dalam kalangan komuniti majoriti Muslim. Ia timbul kebiasaannya berikutan rasa bertanggungjawab seseorang Muslim untuk melakukan aktiviti seharian berpandukan panduan agama, kerana menurut Islam, agama ialah sebuah cara hidup.

2)     Secara umumnya, persoalan ini menimbulkan dua jawapan dan pandangan, iaitu jawapan yang melarang dan mengizinkan. Antara fatwa yang tidak membenarkan datang daripada tokoh ilmuan terkenal dari Arab Saudi iaitu Muhammad bin Soleh al-Uthaymeen dalam kitab fatwanya. Beliau juga mendatangkan pandangan tokoh silam, Ibn al-Qayyim dalam karangannya bertajuk Ahkam Ahl al-Dhimmah. Antara hujahnya (dan hujah pihak lain yang melarang) ialah bahawa orang yang mengucapkan ucapan khas sempena perayaan kaum bukan Muslim, maka ia seolah-olah meredhai akidah dan kepercayaan mereka. Pihak yang melarang juga kebiasaannya menyatakan perbuatan tersebut sebagai menyerupai penganut agama lain. Selain itu, al-Qaradawi menyebut dalam kitab Fatawanya (juga dalam Fiqh al-Aqalliyyat – halaman 145 hingga 153, selain turut dimuatkan oleh ‘Allama ‘Abdullah ben Bayyah dalam kitabnya Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat – halaman 424 hingga 431) mengenai Ibn Taymiah yang melarang ucapan tahniah atas perayaan penganut agama lain.

3)     Ibn Taymiah menurut al-Qaradawi merupakan antara yang keras dalam persoalan ini, contohnya dalam karangannya bertajuk Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim. Shaykh Ben Bayyah semasa melakukan komentar berkenaan pandangan Ibn Taymiah (yang dipetik sebahagian sarjana sebagai melarang) tersebut, beliau menyatakan bahawa riwayat yang lebih tepat pada pandangannya ialah Ibn Taymiah sendiri berpandangan akan keharusan mengucapkan tahniah atas perayaan bukan Muslim. Pandangan tersebut boleh ditemui dalam al-Insaf karangan al-Mardawi (lihat Abdullah Ben Bayyah, Sina’ah al-Fatwa, halaman 430). Hal ini menunjukkan kurang tepat dakwaan bahawa Ibn Taymiah hanya diriwayatkan sebagai melarang semata-mata, kerana al-Mardawi menyatakan sebaliknya dalam al-Insaf. Sementara itu, al-Qaradawi menyebut (jika tepat disandarkan pandangan Ibn Taymiah dalam Iqtidha’al-Sirat al-Mustaqim) bahawa pandangan Ibn Taymiah berdasarkan konteks. Justeru beliau berpandangan jika Ibn Taymiah hidup pada zaman ini, sama ada Ibn Taymiah akan menukar pandangannya atau jika tidak, akan lebih ringan sikapnya dalam melarang.

4)     Al-Qaradawi dan Ben Bayyah merupakan antara sebilangan ulama yang mengizinkan ucapan tahniah atas perayaan bukan Muslim. Pelbagai hujah yang diberikan mereka, sebahagiannya lebih kepada hujah dalil-dalil umum yang menyeru kepada berbuat baik terhadap kaum bukan Muslim yang tidak bermusuh dan memerangi Muslim (60:8-9). Selain itu, ia juga berasaskan hubungan antara Muslim dan Ahl al-Kitab yang mempunyai beberapa kelonggaran tertentu seperti perkahwinan dan sembelihan (5:5).

5)     Al-Quran menyeru kepada membalas ucapan dan penghormatan baik dengan balasan yang lebih baik, atau setidak-tidaknya serupa dengan ucapan awal (4:87). Ibn Kathir dalam tafsirnya akan ayat tersebut menyatakan bahawa Ibn Abbas diriwayatkan berkata: “Sesiapa dari makhluk Allah yang memberi salam kepadamu, maka balaslah kepadanya sekalipun dia seorang penganut agama majusi, kerana Allah berkata: “ucaplah dengan ucapan yang lebih baik daripadanya atau sekurang-kurangnya sama,”” Demikian juga satu riwayat bahawa satu hari seorang penganut Majusi telah memberi salam kepada Ibn Abbas, lalu Ibn Abbas berkata: “wa ‘alaykum al-salam wa rahmah Allah” lantas sebahagian sahabat bertanya: “kamu berkata kepadanya ‘dan rahmat Allah’?”, Ibn Abbas menjawab: “Tidakkah dalam rahmat Allah dia sedang hidup?” (Lihat Fiqh al-Aqalliyyat – halaman 149)

6)     Pengajaran paling penting dan utama sebelum kita pergi lanjut ialah persoalan ini ada perselisihan pandangannya di sisi para ulama, sejak dahulu hingga sekarang. Justeru tidak harus bersikap keras dan melampau dalam hal ini. Saya secara peribadi setuju dengan pandangan yang membolehkan ucapan tahniah ke atas perayaan bukan Muslim, khasnya dalam konteks Malaysia yang jamak bangsa dan agama, malahan guru kami Prof Dr Uqlah Ibrahim turut berpandangan ia suatu keharusan dan tiada masalah. Kepada sesiapa yang tidak bersetuju, tidak bermaksud mereka kurang sederhana atau ‘jumud’, demikian juga pihak yang bersetuju dengan larangan janganlah berkata pihak yang memberi ucapan sebagai 'longgar' dalam praktis agama, setiap manusia bebas untuk berpegang dengan pandangan yang mereka yakin. Memberi ucapan atau tidak memberi ucapan tidak seharusnya dijadikan ukuran seseorang itu Muslim yang ‘baik’, ‘sederhana’ atau sebaliknya. Ia sekadar sebuah usaha dan mekanisme dalam menjaga hubungan sesama manusia, bukanlah segala-galanya kerana tuntutan berbuat baik dengan seluruh manusia dan kehidupan tetap menjadi mesej utama Islam.

7)     Barangkali kita kadang-kadang terlalu obses dengan perbincangan hukum hingga secara tanpa sedar, terabai perbincangan soal tujuan dan matlamat yang mahu dicapai menerusi hubungan antara Muslim dan bukan Muslim, bahkan hakikatnya hubungan sesama manusia (rentas agama dan bangsa)! Dalam kehidupan bernegara dan bermasharakat yang jamak agama, bangsa dan budaya, kita tidak perlu mengabaikan ruh penting dalam persaudaraan kemanusiaan dan persaudaraan kenegaraan. Ia mempunyai asas yang sangat kukuh dalam Islam. Bahkan jika dilihat dalam pelbagai ayat, para Nabi digelar Allah swt sebagai “akhuhum” (saudara mereka) semasa merujuknya dengan kaum masing-masing, sekalipun kaum mereka menentang ajaran yang disampaikan (contohnya 7:73, 7:85, 11:50, 11:61, 11:84, 27:45 dan 26:36). Bermaksud sekalipun berbeza agama (bahkan menentang sesuatu ajaran agama), ia tidak menghalang untuk wujudnya persaudaraan kemanusiaan dan persaudaraan kenegaraan.

8)     Nabi saw sendiri menyeru kepada akhlak yang mulia kepada seluruh manusia, bahkan baginda saw diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (al-Bazzar dalam Musnadnya – 15/364) dan dalam satu hadis Nabi saw menyebut “berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” (riwayat al-Tirmidhi, hadis hasan) Baginda menggunakan perkataan ‘manusia’ dan bukannya sekadar ‘Muslim’. Demikian juga hadis yang menyebut tentang tidak sempurna keimanan seseorang sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Imam Ibn Rajab al-Hanbali menulis dalam sharahnya akan hadis tersebut bahawa terdapat sebahagian sarjana Islam merujuk perkataan ‘saudaranya’ (akhihi) sebagai saudaranya dari kalangan manusia secara umum, bukan sekadar saudara Muslim. Demikian juga kata Ben Bayyah dalam tulisannya bertajuk al-Qiyam al-Mushtarakah.

9)     Hakikatnya perbincangan tentang interaksi dan hubungan antara sesama manusia (Muslim dan bukan Muslim) bukan semata-mata terhad dengan perbincangan hukum mengucapkan tahniah atas perayaan mereka, ia juga perbincangan tentang saling hidup aman, makmur dan sentosa. Ia tentang Muslim dan seluruh penganut agama lain – termasuk yang tiada agama – haruslah bersatu padu atas persamaan tertentu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dan penindasan. Ia bukan sekadar halal haram, tetapi tentang nilai-nilai utama seperti keadilan dan hak-hak asas yang disepakati dan universal yang mesti sama-sama diangkat tanpa mengira kaum, agama dan sistem kepercayaan. Demikian juga, perbincangan tentang mengucapkan tahniah atas perayaan penganut agama lain ialah perbincangan berbuat baik sesama manusia, bukannya orang yang mengucapkannya harus menyindir dan melakukan sarkastik terhadap pihak yang berpandangan tidak harus mengucapkannya (paradoks sungguh, berbuat baik sebelah pihak, kemudian menyindir pihak yang lain!). Yang demikian kerana bertanya tentang kualiti spiritual dan intelektual kita terjawab dengan bagaimana kita berinteraksi dengan orang yang kita tidak bersetuju dengan mereka.


10) Akhirnya, saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada rakan-rakan yang beragama Kristian. Terus memperkukuh persaudaraan kemanusiaan dan saling hidup dengan aman dan makmur, jauh dari sebarang sentimen agama dan bangsa. Isu agama tidak boleh dipolitikkan, mari bina masa depan baharu yang lebih baik. Bersatu atas kepelbagaian.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP