Thursday, 16 May 2013

Selamat Hari Guru, Cinta!

Kehidupan adalah cinta, cinta adalah kehidupan.



Kehidupan adalah cinta, cinta adalah kehidupan. Kehidupan adalah guru, justeru cinta adalah pendidik terbaik kepada kita sebagaimana kata Paulo Coelho dalam The Alchemist;

“When we love, we always strive to become better than we are. When we strive to become better than we are, everything around us becomes better too.”

Cinta bukan sekadar tentang dua insan yang saling merindui, tapi cinta tentang bagaimana kita berfikir, melihat manusia dan alam. Lebih dari itu, tentang bagaimana kita melihat diri kita dan berinteraksi tentang Tuhan. Berinteraksi dengan Tuhan adalah berinteraksi dengan cinta, kerana Tuhan itu Rabb; Yang Maha Mentadbir, Mengurus, Menguasai, dan ia juga Yang Mendidik. Rabb berkait juga dengan perkataan ‘tarbiyah’ (pendidikan) sebagaimana disebut oleh al-Asfahani dalam Mufradat-nya.

Kata al-Asfahani; “Rabb menurut asalnya ialah pendidikan, iaitu pertumbuhan sesuatu daripada satu keadaan kepada satu keadaan hinggalah ia mencapai sempurna.”

Demikian apabila kita menjadi hamba yang sentiasa mendekati dan berinteraksi dengan Rabb, maka kita secara langsung sedang mendidik kita untuk berubah menjadi baik dan lebih baik, perjalanan menuju sempurna.  Al-Asfahani turut menjelaskan bahawa Rabab (awan - sahab) juga berkait dengan perkataan rabb. Awan disebut rabab kerana awan merupakan 'penjaga' kepada tumbuh-tumbuhan di muka bumi kerana tumbuh-tumbuhan berkehendak kepada hujan, hujan pula dikandung awan. Lihatlah sungguh indah perkaitan tersebut, justeru secara literalnya apabila kita bercakap tentang Rabb, kita bercakap tentang pelindung sejati, atas nama apa lagi Dia melindungi selain atas nama cinta?

Cinta haruslah dinikmati dan dihayati oleh kita, lantas atas nama cinta maka kita menyebarkannya kepada manusia lain. Juga atas nama cinta, duta agung cinta Muhammad saw diperintah Allah swt supaya berkata kepada manusia;

“Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya kalian mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kalian dan mengampunkan dosa-dosa kalian, dan Dia Maha Pengampun lagi Maha Mencintai” (3:31).

 Selaku pendidik yang mengajarkan erti cinta hakiki, Nabi saw mengajak manusia supaya menuruti jalan cintanya, lantas Tuhan pasti mencintai manusia. Manusia makhluk yang lemah dan sentiasa melakukan kesalahan, kadang-kadang kesalahan yang dilakukannya bukanlah disengajakan. Namun agungnya cinta, maka manusia yang berjaya dididik oleh cinta akan memohon keampunan kepada Tuhannya. Justeru ayat di atas menggandingkan cinta dan meminta ampun, menggandingkan al-Ghafur (Maha Pengampun) dan ar-Rahim (Maha Mencintai).

Dalam sebuah buku psikologi dan falsafah hidup yang fenomenal bertajuk Tuesdays with Morrie, Mitch Albom memetik pesanan gurunya, Morrie:

“So many people walk around with a meaningless life. They seem half-asleep, even when they're busy doing things they think are important. This is because they're chasing the wrong things. The way you get meaning into your life is to devote yourself to loving others, devote yourself to your community around you, and devote yourself to creating something that gives you purpose and meaning.”

Demikian cinta mendidik kita untuk menjadi baik (soleh) dan menyebarkan kebaikan (musleh), segalanya atas nama cinta. Kita haruslah melihat dunia dengan kaca mata yang lebih mendalam, kita melihat ‘apa di sebalik apa’. Hidup ini, setelah kita menemui 'apa', haruslah kita terus berfikir, merenung dan menggali 'apa' di sebalik 'apa'. Yang zahir di mata bukanlah segala-galanya, tapi ia petanda daripada Tuhan supaya kita sedar bahawa di sebalik yang kita 'nampak', ada pelbagai perkara besar yang terhijab daripada kita.

Kita janganlah dikuasai oleh 'apa', tapi biar kita menemui 'apa' disebalik 'apa'. Untuk menemuinya, wajarlah kita sentiasa mengulang-ulang tanya; "kenapa?". "Kenapa kita melakukan itu?", "kenapa kita belajar?", "kenapa kita mahu graduasi?", "kenapa kita mahu berkaseh-cinta?", "apa itu perjuangan, kenapa kita mesti berjuang?" dan sebagainya.

Kita hanya bebas apabila kita bebas daripada ego, apabila kita bebas daripada bisikan-bisikan halus di sekitar kita. Bukannya kita bebas apabila kita mengiyakan segala yang dibisikkan, atau kita lakukan semua yang 'ego' mahukan.

Persoalannya bagaimana? Jawapannya ialah dengan menghargai guru besar iaitu cinta. Cinta yang menyebabkan kita sentiasa mempersoal dan sentiasa mencari apa yang terhijab di sebalik yang terzahir. Karena apa? Karena cinta mahu sesuatu yang lebih agung dan besar, bukan sekadar apa yang terzahir di hadapan mata.

Apa musuh terbesar cinta? Musuh terbesarnya ialah ego, ego menyebabkan manusia tidak lagi mencinta, bahkan menjadikan manusia membikin benci. Karena benci manusia tidak lagi menjadi rasional, manusia berperang dan menumpahkan darah karena benci. Justeru kita diminta untuk menjauhi diri kita daripada ego. Payah dan memerlukan latihan, tapi kalau kita mahu bebas melakukan apa yang kita mahu sedangkan tunduk kepada ego sendiri, hakikatnya kita sedang terpenjara.

Kisah Hayy Ibnu Yaqadhan (karya agong Ibnu Tufail) mendidik bahawa ego boleh ditangani dengan belajar daripada kehidupan, belajar daripada kehidupan bermaksud belajar menangani ego. Sesiapa yg sentiasa belajar akan tahu bahawa tiadalah ia melainkan sentiasa dalam keadaan tak tahu, hingga akhirnya ia rebah dan sujud mengakui kefaqeeran di hadapan Yang Maha Tahu.

Ada orang yang mencari ketenangan (kebebasan?) dengan melakukan apa yang mereka mahu. Sungguh, betapa banyak yang kita mahu dan berjaya dapatkannya tapi ia langsung tidak menenangkan. Wajarlah sentiasa kita bertanya; "benarkah apa yang kita mahu itu merupakan apa kita mahu?"

Sekali lagi saya memetik apa yang ditulis Mitch Albom dalam Tuesdays With Morrie mengenai pesanan gurunya yang sungguh berharga yaitu; "Kalau kita belajar bagaimana untuk mati, kita sedang belajar bagaimana untuk hidup." Nabi saw mendidik kita untuk sentiasa mengingati mati karena ia bisa meyakinkan kita bahawa tiadalah sebenar-benar kehidupan melainkan "kehidupan selepas kehidupan".

Kalau cinta adalah pendidik atau guru agung, maka apa kemuncak didikan cinta? Bagi penuntut ilmu, kita belajar untuk tahu supaya kita tahu bahawa kita terlalu banyak tidak tahu. kita belajar dan sedaya upaya coba faham, hingga akhirnya kita menangisi kelemahan kita, mengakui bahawa kita tidak pernah faham. Justeru tidak hairanlah orang yang belajar itu sentiasa bijak selama mana mereka mengakui bahawa mereka bodoh. Apabila manusia belajar lantas mendabik dada bahawa dia cerdik, ketika itu dialah manusia paling bodoh.

Dalam sebuah novel falsafah bertajuk Sophie’s World tulisan Jostein Garder, penulis memetik kata-kata ahli falsafah terkenal bernama Socrates, katanya;

'One thing only I know, and this is that I know nothing.'

Sekali lagi, saya memetik kata-kata emas yang terkandung dalam Sophie’s World:

“Wisest is she who knows she does not know.” 

Itulah kemuncak cinta, itulah kemuncak didikan. Cinta mengajar kita merendah diri, cinta mengajar kita menangani ego dan mengawal emosi, cinta mengajar kita menghargai kehidupan, cinta mengajar kita mendidik diri, mendidik manusia dan memperjuangkan cinta.

Hingga akhirnya, atas nama cinta kita menuju Tuhan Yang Maha Mencintai.

Terima kasih cinta, selamat hari guru, cinta!

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP