Thursday, 10 July 2014

Khilafah, Antara Manhaj Kenabian dan Manhaj ISIS

Makalah ini merupakan terjemahan tulisan Sh Dr Ahmad al-Raisuni, sebagai respon ilmiah terhadap isu "khilafah ISIS".


Pada pertengahan dekad kedua pada kurun ke-20, panglima tentera Turki, Mustafa Kamal – yang digelar kemudiannya dengan Kamal Ataturk – melakukan kudeta – menurut bahasa semasa – dalam dunia Islam. Selepas itu beliau melaksanakan keputusan Eropah untuk memansuhkan Khilafah Uthmaniyyah yang dahulunya berlindung di bawahnya kebanyakan negara-negara umat Islam.

Tatkala kebanyakan orang Islam – sama ada masyarakat awam atau golongan tertentu – berasa kematian orang tua atau kehilangan, sejak itu pandangan ke arah pengembalian khilafah menjadi mimpi yang menggoda – atau menghantui – orang yang terlampau bersemangat lagi takut dengan nasib Islam dan umat Islam.

Dalam konteks ini juga, isu “pengembalian khilafah yang dirampas” telah menjadi antara isu yang banyak menyibukkan gerakan-gerakan keIslaman semasa. Malahan sesungguhnya pengguguran Negara Uthmaniyyah – atau Khilafah Uthmaniyyah – merupakan antara sebab yang kuat dan langsung yang membawa kepada kemunculan majoriti gerakan keIslaman antarabangsa, seperti: Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin yang bertitik tolak dari Mesir, Jemaah Tabligh dan al-Jamaah al-Islamiyyah yang mana kedua-duanya bermula dari India, Jemaah Nur yang bermula dari Turki. Kemudian muncul selepas itu Hizb al-Tahrir al-Islami yang mengkhususkan diri dalam persoalan khilafah dan menerusinya, ia menjadi tugas utama dan usaha yang berterusan.

Tertegaknya gerakan-gerakan keIslaman semasa terikat dengan pemikiran al-khilafah, menolak pembubarannya dan berusaha ke arah menghidupkannya, atau sebagai pembetulan akan laluan yang telah berakhir dengan kegugurannya. Sebahagian gerakan tersebut menjadikan penegakan khilafah itu sebagai permulaan dan pintu masuk untuk projek perubahan dan kebangkitan, sebagaimana halnya Hizb al-Tahrir. Sebahagian yang lain menjadikannya tujuan untuk gerak kerja dan laluan sepanjang pringkat-peringkat yang lain, seperti jemaah al-Ikhwan al-Muslimun. Sebahagian yang lain pula melihat kemusykilan umat Islam pada asas dan jawharnya bukanlah isu khilafah, pemerintahan dan politik, tetapi isu umatnya yang jauh dari agama dan kemunduran dalam keimanan dan keberagamaan. Penyakit dan ubat, kemusykilan dan penyelesaian ada di sini, demikian pandangan Jemaah Tabligh dan Jemaah al-Nur.

Antara mereka semua – setelah beberapa masa – kemaah, aliran, pemikiran dan parti-parti keIslaman lain telah tumbuh, mereka tidak menjadikan menerusi khilafah mimpi dari mimpi-mimpi mereka, tidak pula tuntutan terang dari tuntutan-tuntutan mereka, akan tetapi mereka menggantikan dengannya tuntutan dan tujuan-tujuan kepolitikan tertentu yang mempunyai tabiat praktikal yang bermatlamat, sebagai contoh: legitimasi, kebebasan, syura, keadilan dan tatakelola yang baik.

Ini mungkin boleh dinamakan sebagai “generasi kedua” dari gerakan-gerakan keIslaman, atau generasi kurun ke-15.

Barangkali manifestasi yang paling menonjol dan ungkapan yang paling dekat dengan generasi gerakan keIslaman yang baharu ini ialah yang kamu dapatinya berkembang dari Turki yang Timur ke Mauritania dan Senegal yang Barat, dari Parti Keadilan dan Pembangunan di Turki hingga Parti Keadilan dan Pembangunan di Maghribi dan Parti Himpunan Nasional untuk Perubahan dan Pembangunan (Tawasul) di Mauritania.

Antara Turki dan Mauritania, kita akan melalui pelbagai aliran keIslaman yang baharu atau bersifat pembaharuan di setiap tempat di Mesir, Sudan, Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi. Ini hanyalah penyataan contoh dengan kawasan geografi yang bersambung, yang mendakap – lebih banyak berbanding yang lain, berdasarkan apa yang jelas pada pandanganku – tempat-tempat yang cemerlang dan terkemuka untuk generasi kegerakanan yang kedua. Kalaupun tidak demikian, maka pemikiran ini tersebar dan berkembang, padanya entiti dan pengalaman-pengalaman di negara-negara Asia Timur, Semenanjung Tanah Arab dan lain-lain.

Sepanjang tempoh tiga dekad yang terakhir khasnya, kita mendapati pandangan generasi ini menjadi kukuh dalam barisan-barisan gerakan keIslaman yang lalu dan yang baharu, mereka berpindah memansuh atau meniadakan syiar-syiar Khilafah Islam atau Negara Islam, dan memberi tumpuan kepada kandungan-kandungan bukannya istilah-istilah, makna-makna dan bukannya binaan-binaan.

Apa yang mengejutkan akhir-akhir ini, syiar ini kembali ke lapangan media dan seterusnya lapangan ilmu, meletuskan perdebatan yang bersangatan seputar “persoalan khilafah”, cita-cita khilafah dan mimpinya kembali tertegak dalam ribuan pemuda Islam seluruh dunia. Dalam kalangan mereka, ada yang memberi taat setia (baiah), ada yang memberi sokongan dari jauh dan ada yang tergelincir dan sedang menunggu.

Bahkan Kesatuan Sedunia untuk Sarjana Islam – yang dengan rasa syukur telah segera menyatakan pendiriannya yang menolak khilafah yang telah diumumkan baru-baru ini, menegaskan ketiadaan legitimasinya dan ketiadaan setiap syarat khilafah dan elemen-elemennya – memulakan kenyataannya yang terbit pada hari Khamis, Ramadan 1435 H (03/07/2014) dengan pernyataan: “Berkenaan isu ini, Kesatuan Sedunia untuk Sarjana Islam melihat dan menegaskan:

Pertama: Sesungguhnya setiap kita mengimpikan Khilafah Islamiyah berdasarkan jalan kenabian, dari lubuk hati kami, kami berharap ia tertegak pada hari ini sebelum datangnya esok."

Pegangan golongan yang mengimpikan khilafah dan pengembaliannya ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lain, iaitu dari Huzaifah radiyaLlahu ‘anh (RA) berkata: Rasulullah sallaLlahu ‘alayh wa sallam (SAW) berkata:

“Adalah Kenabian (nubuwwah) itu ada di tengah-tengah kamu sekalian, yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang menempuh jejak kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang menggigit (Mulkan ‘Aadhdhon), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang memaksa (diktator) (Mulkan Jabariyah), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya, apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang menempuh jejak Kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah).”

Hadis ini, pertamanya: tidak sunyi dari kelemahan pada kekuatan dan kesahihannya, paling jauh pun apa yang dinyatakan oleh pakar bidang hadis ialah bahasa ia “bertaraf hasan pada sanad”. Berdasarkannya, tidak terbina berdasarkannya hukum-hakam yang keras dan perintah-perintah yang besar. Paling tidak pun, apa yang relevan ialah memberi khabar gembira dan mengembang cita-cita. Adapun jika suatu yang sangat serius dan perintah yang besar, mestilah dengan dalil-dalil yang sahih dan kukuh, jika tidak, maka sebaliknya.

Kedua: Terdapat hadis yang lain dalam topik tersebut, ia berada pada taraf yang sama atau lebih tinggi darinya. Aku maksudkan dengannya ialah hadis Safinah RA, bahawa Rasulullah SAW berkata: Khilafah Kenabian itu tiga puluh tahun, kemudian setelah itu Allah mendatangkan pemerintahan sesiapa yang Dia kehendaki.” Hadis ini tidak menyebut khilafah kedua akan datang dan berada pada jalan kenabian selepas khilafah yang pertama.

Ketiga: Kedua-dua hadis itu, tiada padanya arahan dan tiada larangan, ataupun tiada padanya apa-apa perintah. Oleh itu barangsiapa yang mendakwa bahawa dengan pengumumannya akan khilafah dan kesan-kesannya yang penting, maka dia telah berdiri dengan apa yang Allah taala wajibkan ke atasnya, maka hendaklah dia memberitahu kita, di mana Allah taala perintahkannya? Dari mana kewajipan ini datang? Jika tidak, maka ia merupakan satu dakwaan, dan termasuk kalangan orang yang melakukan apa yang tidak diperintahkan.

Khilafah Antara Dua Jalan

Adapun apabila kita memperhalusi kandungan perkataan al-khilafah al-rashidah, ataupun al-khilafah ‘ala minhaj al-nubuwwah (khilafah atas jalan kenabian), maka kita akan mendapati antara sifat dan keadaannya ialah perkara berikut:

1 – Terhimpun di bawah kesetiaan dan pemerintahannya  seluruh umat Islam – tanpa melihat sedikit atau banyaknya mereka – dan umat Islam seluruhnya meredai akannya dan bergembira dengannya. Adapun khilafah yang diumumkan akhir-akhir ini (Khilafah ISIS – Islamic State of Iraq and Syria), tiada bawah pemerintahannya walau satu dari seribu orang umat Islam dan negara-negara umat Islam. Kemudian adakah setiap yang berada bawah pemerintahan mereka menerima, suka dan mencintai pemerintahan mereka? Pastinya tidak.

2 – Pemilihan khalifah menjadi sempurna selepas mesyuarat dan perbincangan antara semua yang memiliki pandangan dan kedudukan, bahkan dengan partisipasi yang luas dari kalangan seluruh umat Islam – lelaki dan perempuan – sebagaimana dalam pemilihan Khalifah Uthman RA. Untuk itu, Saidina Umar RA berkata – sebagaimana dalam Sahih al-Bukhari – “Barangsiapa yang memberi taat setia (baiah) kepada lelaki tanpa mesyuarat dari kalangan umat Islam, maka dia tidak perlu diikuti, tidak juga orang yang dia beri kesetiaan, telah tertipu kedua-duanya dan mereka terdedah kepada pembunuhan.” (Penterjemah: hadis ini saya terjemah setelah mengambil kira komentar Ibn Hajar al-‘Asqalani, kerana perkataan yang digunakan Umar RA itu tidak mungkin difahami tanpa huraian.)

Adapun khalifah umat Islam yang disangka itu, maka kami tidak tahu siapa yang memberi kesetiaan kepadanya dan siapa yang memilihnya? Apa nilai dan kedudukan mereka dalam kalangan umat Islam? Apa yang kami tahu dan kami tidak ragui akannya ialah telah segelintir sahabat dan pembantunya telah memberi baiah kepadanya, dan ini berkemungkinan menjadikannya ketua ke atas mereka (ISIS) dalam urusan-urusan khusus mereka, adapun menerusinya untuk menjadi khalifah untuk umat Islam, jauh langit dengan bumi.

3 – Bahawa perbincangan dan pemilihan al-khulafa’ al-rashidun berlangsung dengan kebebasan yang penuh dan keamanan yang sempurna, bukannya di bawah kekuasaan pedang, ugutan dan ancaman. Adapun khilafah yang dibicarakan akannya menerusi media-media, kefarduan dan ketetapannya dimahukan di tengah-tengah bencana dan peperangan, dalam udara ketakutan dan kebimbangan, di bawah kediktatoran dan paksaan. Berhubung satu persoalan yang jauh lebih rendah berbanding persoalan khilafah, Imam Malik bin Anas rahimahullah (rhm) ada memberi fatwa yang menyatakan: “Talak orang yang dipaksa, tidak berlaku.” Maka baiah orang yang dipaksa dan takut, suatu yang sia-sia.

4 – Khilafah yang benar itu ialah khilafah yang menyatukan, rahmat dan nikmat ke atas umat Islam, bukannya khilafah peperangan saudara antara umat Islam, bukan pula khilafah yang merupakan bencana, malapetaka, memecah-belah dan azab.

5 – Khilafah atas jalan kenabian tertegak untuk merealisasikan makna, tujuan dan amalan-amalan, bukannya atas dasar syiar dan kenyataan-kenyataan, pemandangan dan gelaran. Imam al-Baghawi menakalkan dalam “Sharh al-Sunnah”, daripada Humaid bin Zanjawayh, “bahawa khilafah ialah untuk orang yang membenarkan nama ini dengan amalan-amalan mereka, berpegang dengan sunnah Rasulullah SAW kemudiannya, apabila mereka telah menyelisihi sunnah, menggantikan sirah, maka mereka ketika itu merupakan raja-raja (muluk), sekalipun mereka menamakan diri mereka sebagai khalifah-khalifah.” (Penterjemah: raja-raja merupakan martabat yang rendah berbanding khalifah (khalifah secara literalnya bermaksud “pengganti” iaitu pengganti yang menunaikan amanah Tuhan dan para Nabi untuk membangunkan bumi dengan keadilan dan kesejahteraan), dan dalam perbincangan sesetengah teks tradisi Islam, memberi konotasi yang negatif.)

Betapa banyak pemerintah yang melampau dalam menulis gelaran-gelaran mereka, memuliakan diri mereka dan menambah nasab keturunan mereka, hakikatnya mereka tidak mengangkat bangsa dan rakyat mereka kecuali bencana, tribulasi, kesengsaraan dan kegilaan. Tentang sebahagian mereka, penyair berkata:

“Antara yang merendahkan aku di bumi Andalus ialah gelaran-gelaran kerajaan yang bukan pada tempatnya,
Gelaran orang yang perkasa dan orang yang memakainya di tempat itu, seperti kucing sambil meninggi diri bercerita ia menguasai singa”

Tidak syak lagi bahawa kucing pada asalnya merupakan binatang yang dihormati dan disayangi, baginya kedudukan dan fungsi, tetapi apabila dia meninggi diri dan mengumumkan dirinya sebagai singa, dan melantik dirinya sebagai “raja rimba”, ketika ini ia kehilangan setiap perkara dan ia menjadi tiada apa-apa.

“Penggantungan hukum-hakam sharak dengan erti dan sifat, bukannya nama dan bentuk”

Ini merupakan ungkapan al-Allamah Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, beliau telah menjadikannya satu tajuk untuk satu perbahasan dalam bukunya “Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah”. Ertinya ialah hukum-hakam sharak tidak dibina dan tidak berkait dengan bentuk, nama dan luaran, sebaliknya terbina dengan memelihara hakikat perkara-perkara dan sifat-sifatnya yang memberi kesan.

Tiada dalam Shariah pengharama sesuatu, pengharusan atau kewajipannya kerana namanya demikian, dan gelarannya demikian. Ibn Ashur berkata: “Janganlah kamu menyangka bahawa sebahagian hukum-hakam tergantung dengan nama-nama perkara, atau bentuk gambarannya tanpa memenuhi makna-makna sharak, nescaya kamu akan terjatuh dalam kesilapan dalam fiqh.”

Apa yang khas dalam isu kita ini – isu pemerintahan, khilafah dan politik – kita mendapati bahawa sharak telah datang dengan keadilan dan mewajibkannya dalam setiap lapangan, datang dengan al-ihsan dan telah mewajibkannya dalam setiap perkara, dan datang dengan syura, legitimasi dan menghalang kediktatoran, datang dengan kepemurahan dan mencela monopoli, datang dengan kesamarataan, tawaduk dan mengharamkan keangkuhan dan kemelampauan, datang dengan memelihara harta-harta awam dan tidak didekati melainkan dengan cara yang paling baik, menolak melakukan monopoli, penggelapan wang, pembaziran atau pilih kasih, datang dengan membantu orang yang lemah, memberdaya hak-hak, kemuliaan dan hajat mereka, datang mencegah orang-orang yang kuat, menghalang mereka dari kezaliman dan permusuhan, dan (Sharak) datang untuk merealisasikan keamanan dan menolak ketakutan.

Semua ini merupakan rukun, kefarduan dan penentuan yang putus (qatie), diketahui tempat, kedudukan dan dalil-dalilnya dalam agama. Maka jika terrealisasi makna dan tujuan ini di bawah apa yang dinamakan sebagai khilafah, maka itulah sebaik-baik khilafah, dan itulah yang kita mahu. Jika (tujuan dan makna) tersebut dilanggar dan menjadi sia-sia di bawah “khilafah”, maka itu seburuk-buruk khilafah, dan itu apa yang kita tidak mahu. Dan jika (tujuan dan makna) direalisasikan tanpa nama khilafah, dan di bawah apa-apa nama pun, maka telah tercapai maksud sepenuhnya tanpa berkurang pun.

Sharak yang meletakkan kefarduan ke atas kita apa yang telah disebut dan hukum-hakam, prinsip dan tujuan yang lain, tidak meletakkan langsung kefarduan untuk kita menegakkan apa yang kita namakan sebagai khilafah, khilafah Islamiyah atau daulah khilafah. Dan ia tidak meletakkan kefarduan untuk menegakkan bentuk tertentu, untuk khilafah dan negara ini, dan ia tidak memerintahkan kita – sekalipun dengan satu ayat – untuk kita menamakan pemerintah sebagai khalifah, dan untuk menamakan sistem pemerintahan kita sebagai khilafah.

Oleh itu aku menyatakan: sekiranya tersembunyi lafaz “khilafah dan khalifah” dari kehidupan umat Islam selama-lamanya, ia tidak mengurangkan agama mereka walau sebesar zarah atau lebih kecil daripadanya. Akan tetapi sekiranya tersembunyi keadilan, syura dan legitimasi pemerintahan untuk satu hari, maka ia merupakan bencana yang besar.

Sesungguhnya “khilafah” yang mendatangi kita dengan pedang dan berbicara kepada kita dengan pedang, tidak akan sesekali menjadi – pada apa yang kalau pun telah terjadi – melainkan pemberi ancaman yang malang dan sumber kejahatan untuk umat ini.

Kita sengsara dengan pemerintah-pemerintah yang datang kepada kita dengan pedang, memerintah kita dengan pedang, dan sebahagian mereka masih mengambil pedang sebagai syiar untuk negara dan benderanya, cukuplah kita dengan pedang dan kekerasan.

Kita kata "Ya" untuk pedang ketika mana ia menangkis penceroboh, mengusir penjajah dan menghina agen dan pemimpin-pemimpin mereka, dan juga ketika memelihara negara, mengamankan kawasan jurang di bukit dan ketumbukan perang. Adapun apabila pedang ditujukan ke tengkuk-tengkuk umat Islam, dan digunakan untuk kediktatoran dan kekerasan, telah bertukar menjadi ganti kepada legitimasi dan syura, dan jalan untuk mengumumkan khilafah, maka dia dan khilafahnya adalah batil dan ditolak.

2 comments:

Dr Akram,  10 July 2014 at 12:55  

Sketsa tntg Khilafah

Pada ketika beberapa minoriti (self-claimed intelectual) beria-ria bersungguh mengistiharkan pengembalian Khilafah sebagai satu romantisma & mimpi sesebuah gerakan (yg mana gerakan ini merangkumi lebih dari 40 negara),

tiba tiba ada satu golongan lain yg mengisytiharkan penegakkan semula Khilafah, dan bukan sedikit yang menyahutnya walaupun pembentukannya penuh BATHIL (tanpa jalan & persiapan yg betul).

Maka barulah kita ketahui mereka yg mengelarkan org lain sbg bermimpi & beromantisma rupanya mereka sendiri yg beromantisma di dlm dunia falsafah mereka sendiri..

Sungguh falsafah hanyalah satu teori angan angan tanpa jalan yg bertapak di dunia nyata

Anonymous,  12 July 2014 at 10:26  

Orang yang memang Ikhlas berjuang menegakkan ISLAM dan KHILAFAH
adalah yang LAPANG DADA menerima nasihat..
tidak emosional jika di kritik...
jika sebegitu emosional dan anti KRITIK...
untuk tujuan apakah deklarasi KHILAFAH tersebut...???????????
penuh tanda tanya...???????????????????

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP