Friday, 25 July 2014

Retrospeksi Adab dalam Berbeda, Mengutip Puing-puing Berbaki

Taha Jabir al-Alwani, penulis buku Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam (Ethics of Disagreement in Islam). Sangat dicadangkan untuk dibaca.


Dr Taha Hussein antara tokoh terkenal dunia Arab khasnya dan beliau terlibat dalam debat hangat sekitar beberapa perkara, terutama soal al-Shi'ir al-Jahili (syair zaman Jahiliyyah). Beberapa pandangannya tentang Islam, khasnya al-Quran sangat tak boleh diterima dan dalam beberapa perkara, bertentangan dengan hal-hal asas yang dianjurkan Islam.

Saya tak nak ulas tentang Dr Taha Hussein dan pemikirannya, tetapi tertarik dengan adab dan kesopanan beberapa pengkritiknya; antara paling menonjol ialah Allama Mustafa Sadiq al-Rafi'i, salah seorang daripada tiga tokoh penting pembaharu dalam ilmu balaghah al-Quran, dikenali sebagai al-I'jaz al-Bayani, dua orang lagi ialah Allama Muhammad Abdullah Darraz (dalam Al-Naba al-Azhim khasnya) dan Ustadh Sy. Qutb (dalam al-Taswir al-Fanni fi al-Quran dan Mashahid al-Qiyamah fi al-Quran, selain (dan lebih tertonjol berbanding) tafsir Fi Zhilalnya), selain mereka ada lagi tokoh-tokoh lain, tapi mereka paling menonjol dan kemilau sumbangannya dalam al-I'jaz al-Bayani menurut ulama muhaqqiq era ini, antaranya Allama Sh Faddal Hasan Abbas (lihat contohnya dalam buku al-Tafsir: Asasiyyatuhu wa Ittijahatuh).

Mustafa al-Rafi'i semasa mengkritik Dr Taha Hussein dalam buku terkenalnya 'Tahta Raayah al-Quran', beliau menunjukkan contoh adab yang amat hebat. Beliau berulang-ulang menyebut gelaran kesarjanaan Dr Taha Hussein walau semasa sedang mengkritik keras. Contohnya 'Prof Dr Taha Hussein', dan semasa mengkritik pandangan Dr Taha Hussein tentang falsafah keindahan dan cinta (Falsafah al-Jamal wa al-Hubb), al-Rafi'i memanggilnya sebagai 'al-Ustadh al-Fahhamah al-Duktur Taha Hussein' (bererti: Prof Yang Amat Mendalam Kefahaman, Dr Taha Hussein). Sebelum dinyatakan kritikannya yang penuh beradab, terlebih dahulu al-Rafi'i menyertakan sebuah topik akan kritikan terhadap Taha Hussein oleh Ustadh Mustafa Fadhli, yang turut menggunakan gaya bahasa yang baik dan penuh teladan mulia.

Dalam satu rakaman kuliah Sh Dr Salman Auda, apabila beliau ditanya tentang krisis di Syria yang menyebabkan beliau terpaksa menyebut tentang Hizbullah, beliau menyebut antaranya: "... Hizbullah (parti Allah), kita menamakan mereka sebagaimana mereka menamakan diri mereka ..." Salman Auda tidak menggelarkan mereka sebagai Hizbullat (parti berhala yg bernama al-Lat) sekalipun ia dilakukan oleh segelintir tokoh ilmuan ternama, dan meskipun Salman Auda sendiri tidak bersetuju dengan penglibatan Hizbullah dalam perang saudara di Syria. Salman Auda turut menyebut dalam sebuah rakaman kuliahnya; "alangkah, jika kita berinteraksi dengan manusia sebagaimana Rasulullah SAW berinteraksi dengan kaum munafiq," antara yang dimaksudkannya ialah Rasulullah SAW menghukum mereka berdasarkan zahir, tetap menggunakan bahasa dan pendekatan yang baik. Kalau itulah interaksi penuh adab Rasulullah SAW dengan kaum yang munafiq, tak terbayang betapa indah akhlak Rasulullah SAW dengan para sahabat setianya dan isteri-isterinya yang tercinta! Malangnya hari ini, sebahagian Muslim ghairah mahu memunafikkan dan memfasikkan, bahkan mengkafirkan orang yang berbeza dengan mereka, seolah-olah mereka sedang membaca isi hati manusia lain.

Pemikir Muslim antarabangsa, Prof Dr Taha Jabir al-Alwani telah berlaku benar apabila telah menulis buku 'Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam' (Ethics of Disagreement in Islam) – diterbitkan oleh International Institute of Islamic Thought dalam kedua-dua bahasa, selain turut diterbitkan di Malaysia oleh Angkatan Belia Islam Malaysia – yang telah mengulas dengan padat tentang konsep etika dalam berbeda pandangan sejak zaman Nabi SAW, para sahabat dan generasi ilmuan seterusnya; sama ada dalam dunia kesarjanaan mahupun peristiwa kepolitikan (sebagai contoh perselisihan antara Imam Ali karramaLlahu wajhah dan Muawiyah radiyaLlahu ‘anh). Menurut al-Alwani dalam prakatanya, penyakit perselisihan dan pertentangan itu merupakan antara penyakit paling parah yang dialami Muslim, seolah-olah semua yang ada pada umat ini menerusi perintah, larangan dan ajaran (agama) hanyalah berselisih, gemarkan permusuhan dan perkelahian. Keterlaluan dalam bertelingkah, bermusuhan dan berprasangka melambangkan jiwa kecil yang dimiliki segelintir pihak, kerana kematangan mengajar kita untuk berbeda dengan penghujahan dan saling hormat, bukan adu domba dan didahului prasangka tidak bertempat.

Buku penting Taha Jabir (pertama kali diterbit pada 1987) itu diikuti dengan buku penting bertajuk Fiqh al-Ikhtilaf oleh al-Qaradawi dan antara penulisan terbaharu dan baik ialah 'Kayfa Nakhtalif' (Bagaimana Kita Berbeda?) oleh Salman Auda. Buku Dr Muhammad al-Mukhtar al-Shanqiti bertajuk al-Khilafat al-Siyasiyyah Bayn al-Sahabah (Perselisihan-perselisihan Kepolitikan antara Para Sahabat) turut baik; antara tema umumnya ialah bagaimana sepatutnya mengawal emosi dan kekal rasional dalam menghadapi saat-saat sukar dalam perbedaan, bahkan peperangan. Al-Shanqiti menyertakan 22 kaedah bagaimana berinteraksi dengan peristiwa penuh luka dalam sejarah Islam itu. Menurutnya, bagaimana Muslim berinteraksi dengan peristiwa besar tersebut akan memberi kesan terhadap bagaimana mereka berinteraksi dengan isu-isu sejarah yang lain, termasuk isu-isu semasa dunia Muslim. Oleh sebab itu, beliau memberi perhatian terhadap tema asas buku itu iaitu membezakan antara makanah al-ashkhas (kedudukan seseorang) dan qudsiyyah al-mabadi’ (kesucian prinsip-prinsip).

Al-Shanqiti boleh jadi benar, kerana kegagalan membezakan antara dua perkara tersebut menyebabkan sebahagian Muslim pada hari ini berdiam diri dan bahkan menyokong beberapa fatwa sokongan yang dikeluarkan oleh segelintir ‘syeikh-syeikh’ dalam menyokong pemerintah tirani, sebagaimana telah berlaku di Mesir. Baru-baru ini contohnya, Mufti Besar Mesir telah menurunkan tandatangan untuk hukuman mati empat orang ilmuan yang ‘menentang kerajaan’ kudeta pimpinan al-Sisi. Berbeda pandangan dalam erti kata ini akan menyebabkan kita lebih bersikap kritikal sambil hormat kesarjanaan dan kedudukan seseorang, dan beradab sambil kritis. Kecintaan terhadap seseorang tidak sepatutnya membutakan mata kita untuk sentiasa menyebelahinya meskipun dia sedang terang-terangan melakukan kesalahan, demikian juga kebencian kita terhadap perbuatan seseorang usah hingga menyebabkan kita berlaku tidak adil terhadap kenyataan dan peribadi seseorang.

Barangkali, terdahulu dari semua tokoh kontemporari di atas ialah beberapa penulis silam, khasnya dalam bab biografi hidup, pemikiran ketokohan sarjana tertentu, seperti al-Dhahabi menerusi beberapa bukunya seperti Siyar al-Alam al-Nubala’ dan Ibn Khillikan dalam Wafayat al-A’yan, terlalu banyak judul sedemikian yang ada dalam khazanah pemikiran Islam. Tetapi umumnya penulisan sebegitu menonjolkan sikap insaf dan adil penulisnya, sekalipun semasa sedang menulis tentang tokoh yang mereka berbeda pandangan.

Tentunya etika-etika yang baik dalam berbeda bukan milik Muslim sahaja, namun disebabkan saya sedang berbicara kepada pembaca yang barangkali majoritinya Muslim, maka biar kita belajar contoh daripada orang-orang berilmu yang satu keyakinan keagamaan dengan kita, supaya mudah-mudahan kita lebih melakukan retrospeksi dan belajar sesuatu. Buat rakan-rakan bukan Muslim pula, mudah-mudahan ini merupakan maklumat baharu buat kalian, lantaran persoalan etika berbeda pandangan ialah persoalan bersifat sejagat dan diperlukan semua manusia. Dunia kian mencabar, pelbagai maklumat dan bahan bacaan mudah disuap kepada kita semua pada era globalisasi; sempadan yang nirsempadan dan pengetahuan yang nirbatasan. Bererti, ia akan mencabar etika kita dalam berpendirian, berpihak dan seterusnya berbeda pandangan.

Media-media sosial contohnya, seperti menunjukkan bahawa ada 'trend' tertentu dalam berbeda tanpa etika; kontang hujah, lalu tunjuk kuat dengan pelabelan, serangan peribadi dan sarkasme melampau. Sebahagian pengguna media sosial (termasuk yang mendakwa sebagai memperjuangkan Islam!) contohnya telah melakukan pemetikan bahagian tertentu dari sesebuah kenyataan seseorang yang mereka musuhi, kemudian tanpa dijelaskan apa konteks kenyataan itu, ia dijadikan poster untuk memburukkan peribadi seseorang dan kumpulan tertentu. Bukan itu sahaja, globalisasi yang membawa sekali 'promosi' untuk manusia tahu dan baca semua perkara telah menyebabkan sebahagian pihak meresponnya secara tidak bijaksana, antaranya dengan melakukan larangan jualan buku-buku tertentu secara penguatkuasaan. Debat dan perbedaan di sesetengah tempat ternyata tidak lagi menghasilkan buku-buku yang ‘membalas’ (sebagaimana sikap yang diambil sebahagian sarjana dahulu dan kini) dan menghujahkan pandangan masing-masing, tetapi menghasilkan lebih banyak turun naik ke mahkamah dan campur tangan kekuasaan. Alangkah, ini suatu yang amat mendukacitakan dalam etika berbeda pandangan!

Kita perlu sentiasa serius mendengungkan etika-etika yang bersifat kesejagatan terutama pada dunia yang seolah-olah makin melupakannya. Etika-etika mulia tidak bersifat nisbi, ia suatu yang kekal pada setiap zaman dan tempat. Rasulullah SAW telah melaungkan kata-kata agungnya; “sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kemuliaan-kemuliaan akhlak”. Ia seruan yang sangat mendalam, khasnya perbahasan tentang falsafah akhlak telah berlangsung hebat berkurun-kurun sebelum diutuskan Muhammad SAW, sebagai contoh dibincangkan oleh sebilangan ahli falsafah Yunani sebelum itu.

Agama Islam seluruhnya merupakan akhlak; akhlak dengan Tuhan, akhlak dengan manusia dan bahkan alam. Sesiapa yang mendakwa berakhlak dengan Tuhan tetapi amat teruk sikap dan interaksi dengan manusia, dakwaannya hanyalah khayalan dan penuh tipu daya. Tulisan ini tidak mahu membahaskan falsafah akhlak secara panjang lebar, cukuplah kita melakukan retrospeksi terhadap tragedi mendukacitakan kita dalam kita berbeda pandangan. Kata-kata dan pendekatan benci seperti terlalu mendominasi masharakat hari ini, kata-kata dan pendekatan cinta mesti diangkat kembali. Ia suatu yang sukar, tapi tidak mustahil. Kawal ego, didik diri untuk sentiasa tawaduk. Kita bukan tahu semua perkara, kita bukan sentiasa betul.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP