Friday, 9 January 2015

Jika Nabi Dihina, Bagaimana Respon Seorang Muslim?

Muhammad sallallahu 'alayh wa sallam (SAW)


Kes serangan terhadap pejabat Charlie Hebdo, akhbar mingguan satira berbahasa Perancis menghangatkan menggegarkan tahun baru 2015, ia mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 11 orang.  Charlie Hebdo ialah akhbar yang sarat dengan satira dan jenaka terhadap pelbagai sudut, termasuk terhadap agama-agama seperti Kristian, Islam dan Yahudi. Kes yang sedang dibicarakan ramai ini bukan suatu yang baru, sebelum ini ada satu filem yang tersiar di Youtube bertajuk Innocence of Muslim. Filem yang dipercayai diarahkan oleh Sam Bacile, Nabi Muhammad saw digambarkan sebagai seorang yang gila seks, bodoh, dahagakan darah dan sebagainya.

Hal ini turut mengingatkan kita dengan beberapa siri penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa pihak seperti Terry Jones, seorang paderi ekstrem yang menarik perhatian dunia dengan seruan membakar al-Quran pada tahun 2010. Demikian juga dengan beberapa peristiwa kartun menghina Nabi saw, contohnya oleh Jyllands-Posten’s pada tahun 2006.

Peristiwa serangan terhadap pejabat Charlie Hebdo itu telah dikritik ramai pihak, para sarjana Muslim dan pemimpin negara berpendudukan majoriti Muslim antara yang pantas memberi respon menolak tindakan ganas tersebut, demikian juga pelbagai tokoh agama lain dan aktivis sosial dan politik. Mereka bersepakat dalam mengecam hal tersebut. Saya secara prinsipnya bersetuju dengan kecaman tersebut, namun artikel ini bukan datang untuk mengecam sahaja, saya berhemat ada beberapa persoalan penting harus dibincangkan dan dijawab jujur, terutama untuk diambil berat oleh Muslim.

Islam dan Kepelbagaian Beragama

Pendirian Islam dalam soal kebebasan berkeyakinan dan keharmonian dalam beragama sangat jelas ditampilkan dalam banyak ayatnya, contohnya seruan Lakum diinukum wa liya diin (Bagimu agamamu dan bagiku agamaku) dalam surah al-Kafirun. Demikian juga, al-Quran mendeklarasikan larangan mencela doktrin-doktrin asas agama lain demi mengelakkan implikasi buruk selepasnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-An’am ayat ke-108:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

Islam turut menolak pemaksaan dalam hal ewal beragama, kerana pemaksaan akan menghilangkan makna keimanan, sebaliknya akan mengembang biak kemunafikan. Jalan untuk mengajak manusia kepada Islam ialah dakwah dan pendidikan. Ayat La Ikraha Fi al-Diin (al-Baqarah: 256) menjadi antara mesej terpenting Islam dalam persoalan pertentangan antara agama dan pemaksaan.

Namun begitu, kebebasan bersuara dan berkeyakinan bukan bermaksud galakan menghina agama lain, atau mana-mana doktrin asas agama lain. Bebas berkata-kata tetap mesti didahului dengan bebas berfikir. Bebas tidak wajar hingga menceroboh hak dan keyakinan agama lain, kalau tidak bersetuju mesti dengan jalan ilmu dan fakta, bukannya menghina. Hal ini demikian demi mengelakkan implikasi buruk yang lebih besar seperti pergeseran dalam masyarakat, keganasan dan sebagainya.

Sesiapa sahaja berhak untuk tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama, malah bisa sahaja untuk tidak persetujui dan mencabar kepercayaan keesaan Tuhan dalam agama Islam sebagai contoh. Namun jalannya mestilah menerusi kajian dan perdebatan ilmiah, dan umat Islam yang mempunyai keyakinan tertentu dalam beragama wajar sahaja menjawabnya menerusi pengetahuan dan kajian yang dilakukannya. Demikian juga umat Islam bisa sahaja tidak bersetuju dengan doktrin-doktrin asas agama lain, seperti konsep Triniti dalam ajaran Kristian, namun biarlah ia diselesaikan menerusi jalan ilmu dan perdebatan ilmiah, bukannya dengan menyebarkan kartun lawak hingga hingga mengguris perasaan mana-mana pihak.

Saya memberi contoh, seringkali sebahagian negara Barat menyebut tentang larangan anti-Semitic, malah ada beberapa negara yang mengenakan tindakan terhadap rakyat mereka yang menafikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi semasa perang dunia kedua (Holocaust denial). Sebagai contoh Austria, Belgium, Perancis dan beberapa negara lagi mengharamkan penafian dan tindakan mempromosikan Holocaust sebagai tidak benar-benar berlaku. Barang diingat, tujuannya sudah pasti untuk mengelakkan kaum Yahudi berasa terguris dengan peristiwa tragis tersebut. Isu Holocaust dan sejauh mana kebenaran peristiwanya telah sekian lama didebatkan dan dicabar kesahihannya, namun saya tidak berminat mengulasnya dalam tulisan ini. Hanyasanya saya mempersoalkan kenapa tidak juga dianggap perbuatan menjadikan agama sebagai kutukan dan bahan jenaka sebagai sesuatu yang serius dan boleh menggugat keharmonian bermasyarakat?

Bagaimana Muslim Merespon Penghinaan Terhadap Nabi Mereka?

Pada perkiraan saya, isu ini sangat penting dan wajar dijawab Muslim dengan jujur dan realistik, selain mempertimbang pelbagai aspek. Persoalan ini datang selepas saya menulis pendirian dan sikap yang sepatutnya kita ambil dalam menangani kepelbagaian dan kebebasan sebagaimana terpampang di atas. Kepelbagaian dan kebebasan harus secara prinsipnya beretika dan berlangsung jauh dari provokasi dan penghinaan murahan terhadap kepercayaan agama lain. Saya menyebut murahan kerana bukan semua kritikan dalam isu keagamaan itu perbuatan menghina, kerana kritikan dan perdebatan ilmiah tak sewajarnya ditolak dalam segenap bab, termasuk bab keagamaan.

Dalam sahih al-Bukhari, disebut tentang pada suatu hari Muhammad SAW telah naik ke bukit Safa dan memanggil kaum Quraisy, kaum Quraisy berkumpul seraya bertanya, “ada apa dengan kamu?” Nabi SAW berkata: “Apa kata kamu jika aku memberitahu bahawa ada musuh akan datang kepadamu pada pagi atau petang?” Kaum Quraisy menjawab, “Ya (kami percaya).” Nabi SAW menyambung: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan kepada kalian sebelum datangnya azab yang pedih.” Abu Lahab terus berkata: “Binasalah engkau, adakah untuk ini sahaja engkau mengumpulkan kami?” Lalu Allah SWT menurunkan ayat: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, binasalah!”

Hadis tersebut salah satu dari pelbagai hadis dan ayat al-Quran (contohnya ayat ke-57 dari surah al-Ahzab yang menyebut laknat Allah beserta azab yang menghinakan terhadap sesiapa yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya) yang menyebut bahawa penghinaan terhadap Rasulullah SAW ialah satu kesalahan amat besar dan dimurkai Tuhan. Betapa, sejak peristiwa itu celaan terhadap Abu Lahab diulang-ulang oleh majoriti Muslim zaman berzaman, hanya kerana Abu Lahab menyakiti Rasulullah SAW dengan perkataannya. Oleh itu, kita bersetuju dengan larangan mencela Muhammad SAW. Tetapi persoalannya, adakah setiap penghinaan dibalas dengan hukuman? Dan jika ada, apa hukuman tersebut? Selain itu, wujudkah perbezaan dalam sikap kita jika dalam satu kes penghina merupakan seorang Muslim, sementara dalam kes yang lain, penghina merupakan bukan Muslim?

Contoh-contoh Penghinaan Terhadap Nabi Dalam al-Quran dan al-Hadis?

            Untuk menjawab soalan-soalan tersebut, sangat sesuai jika kita lihat beberapa contoh penghinaan, sindiran dan sarkasme yang dilakukan oleh pembenci Nabi SAW sebagaimana terpampang dalam al-Quran, disusuli perbincangan tentang apa yang Allah SWT perintahkan kepada Nabi SAW dan para sahabat untuk lakukan.

            Sebagai contoh apabila diseru supaya beriman, mereka (kaum munafiq) menggelarkan para sahabat yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya sebagai kaum yang bodoh (al-Baqarah: 13), mereka juga menyebut terang-terangan akan bersama-sama dengan kaum Yahudi jika mereka dihalau dan diperangi akibat melanggar perlembagaan Madinah (al-Hashr: 11). Mereka mendustakan Rasul, angkuh dalam berpaling, berkempen supaya tidak diberi harta kepada orang-orang yang bersama Rasulullah SAW dan menyebut Rasulullah SAW sebagai hina (al-Munafiqun: 1, 5, 7, 8). Mereka menyakiti Rasulullah SAW dan berkata Muhammad mendengar dan terima apa sahaja yang didengar (al-Taubah: 61), dan pelbagai lagi ayat al-Quran yang menceritakan perihal sindiran, fitnah dan pendustaan yang dilakukan mereka terhadap Rasulullah SAW.

            Demikian juga beberapa contoh dalam hadis Nabi SAW, antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim tentang seorang lelaki yang telah berkata kepada Rasulullah SAW, “Bersikap adillah wahai Muhammad, sesungguhnya engkau tidak berlaku adil! …, Nabi SAW membalas, binasalah kamu, siapa lagi yang adil kalau aku tidak adil?!” Umar al-Khattab RA menawarkan diri untuk membunuh lelaki tersebut, lalu Rasulullah SAW melarang dan berkata: “Aku berlindung dengan Allah dari perkataan manusia bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.”
           
            Nabi SAW Sebaik-baik Teladan

            Perbuatan menghina seseorang ialah suatu yang amat sensitif dan boleh menyebabkan pergaduhan, apatah laki jika yang dihina itu suatu yang dianggap besar dan mulia oleh sekumpulan manusia. Seterusnya, menarik jika kita turut membincangkan beberapa contoh dari al-Quran dan al-Hadis sendiri berkenaan bagaimana respon dan tindakan yang dilakukan terhadap apa-apa penghinaan.

            Antara yang paling jelas ketara jika ditinjau sirah Nabi SAW ialah, sekalipun kaum munafiq khasnya dan selain mereka (antaranya sebahagian Yahudi di Madinah) yang bertubi-tubi menyakiti Rasulullah SAW menerusi perkataan dan perbuatan, Nabi SAW tidak memerintahkan para sahabatnya supaya mendiamkan para pencelanya, begitu juga tidak memerintahkan supaya dibunuh golongan tersebut.

            Malah, jika dilihat dalam al-Quran, kebanyakan ayat menyuruh supaya berpaling dari mereka, memaafkan, teruskan memberi pesan dan sebagainya, selain dalam beberapa ayat Allah SWT sendiri yang menetapkan azab dan kehinaan di dunia dan di akhirat terhadap para pencela Rasul-Nya.

            Sebagai contoh dalam surah al-Nisa’, selepas Allah SWT berbicara tentang sekumpulan orang munafiq yang berpaling dari seruan Allah dan Rasul-Nya, selain bersungguh-sungguh memalingkan manusia dari Rasulullah SAW (ayat ke-60-61), datang kemudiannya perintahNya:

            “… oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.” (al-Nisa’: 63)

            Semasa Allah membicarakan tentang kekufuran mereka dan ejekan yang dilakukan terhadap ayat-ayat dari al-Quran (al-Nisa’: 140), dalam ayat yang sama, Allah SWT berpesan:

            “… maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain.”

            Apabila mereka menghasut supaya tidak keluar berperang mempertahankan negara Madinah atas alasan musim panas (al-Taubah: 81), Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya menjawab dalam ayat yang sama:

            “… Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.”

            Demikian beberapa respon dan tindakan Nabi SAW dalam berinteraksi dengan celaan, penghinaan dan pendustaan yang dilakukan oleh beberapa golongan khasnya di Madinah. Kalau agama ini agama yang memaksa dan berdendam, maka Rasulullah SAW boleh sahaja mendiamkan mereka yang membantah, bahkan membalas dengan hukuman fizikal, sebagaimana beliau SAW dan para sahabat hadapi di Makkah sebelum itu. Namun, sifat agama yang mulia bukan begitu, kebodohan tidak perlu dilayan, sindiran tidak perlu diendahkan, selagi tidak disertai dengan konspirasi pengkhianatan terhadap negara Madinah dan cubaan menyakiti fizikal sesiapa dari kalangan Rasul SAW mahupun para penduduk Madinah yang lain. Itulah agama dakwah dan pendidikan, agama yang tidak membalas kejahatan dengan kejahatan yang lain, apatah lagi kejahatan sehingga melibatkan pertumpahan darah.

            Terdapat yang bertanya, kalau benar itu interaksi dan respon Nabi SAW terhadap pihak yang menghina dan mencelanya, bagaimana dengan kisah Ka’b bin Ashraf yang telah dibunuh oleh Muhammad bin Maslamah dan Abu Na’ilah kerana menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Bukankah Rasulullah SAW sendiri yang telah mengizinkan pembunuhan tersebut? Persoalan ini wajar dijawab dan difahami dengan baik, kerana sebahagian pihak berpegang dengan peristiwa ini dalam memfatwakan pembunuhan orang yang menghina Rasulullah SAW.

Jika dibuka teks-teks sejarah dan dilihat dengan teliti[1], Ka’b bin Ashraf bukan semata-mata menghina dan menyakiti dengan perkataan, bahkan Ka’b bin Ashraf yang merupakan seorang Yahudi di Madinah telah pergi ke Makkah selepas peristiwa perang Badar yang menyaksikan kekalahan tentera Quraisy Makkah, Ka’b telah menyeru tentera Quraisy untuk menyerang tentera Muslim di Madinah. Apa yang paling jelas, ini merupakan pengkhianatan seorang warganegara terhadap negara sendiri sedangkan perlembagaan negara Madinah mewajibkan semua pihak mempertahankan negara Madinah, saling bekerjasama membangunkan Madinah dan tidak berkomplot dengan pihak musuh. Kalau dalam konteks dunia hari ini, ia ibarat seorang warganegara A telah berpakat dengan pembesar negara B untuk membalas dendam menyerang tentera negara A (yang merupakan negaranya sendiri), sudah tentu ia tidak boleh dibiarkan kerana bahaya akan menimpa negara dan seluruh penduduk sesebuah negara. Oleh itu, Kisah Ka’b bin Ashraf ada faktor lain di luar faktor “penghinaan” semata-mata.

            Akhlak Dalam Berinteraksi & Kepentingan Melihat Implikasi

            Al-Shaykh al-Maqasidi Dr Ahmad al-Raisuni[2] dalam bukunya al-Kulliyyat al-Asasiyyah Li al-Shariah al-Islamiyyah (hlm. 141-145, terbitan Dar Ibn Hazm) menganggap bahawa memaafkan “memaafkan” dan “tidak mengendahkan” ialah antara asas dalam akhlak berinteraksi terhadap golongan di atas, beliau memetik kata Allah SWT:

            “… Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka (kaum Yahudi) lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (al-Maidah: 13)

            Begitu juga kata Allah SWT dalam surah (al-Shura: 43):
                                                                                       
            “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

            Sudah tentu memaafkan dan tidak membalas kebodohan dengan kebodohan yang serupa bukan bererti ia terhenti setakat itu sahaja. Namun ia turut disertai seruan untuk menjawab tohmahan, menyampaikan peringatan dan sebagainya (sebagaimana terlihat dalam ayat-ayat yang telah disebut di atas). Apabila ia merupakan asas, bererti perbuatan ganas tertolak serta-merta.
           
            Melihat implikasi (al-Ma’alat) yang dijangka menerusi apa-apa tindakan ialah suatu yang sangat dituntut. Contoh-contoh praktikal Nabi SAW dalam mengambil kira implikasi sesuatu perbuatan sangat banyak dalam Hadis, seperti menangguhkan pembaikpulihan binaan Kaabah di tempat asalnya kerana bimbang umat Islam yang baru meninggalkan ajaran lama mereka berasa musykil lalu meninggalkan Islam, mengarahkan sahabat supaya tidak memanjangkan bacaan dalam solat semasa menjadi imam supaya manusia tidak bosan lalu tidak hadir ke masjid dan sebagainya.

            Begitu juga dalam konteks perbincangan kita dalam tulisan ini, apa-apa tindakan dalam merespon celaan dan penghinaan sesetengah pihak terhadap hal-hal asas agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, haruslah dilihat pelbagai pertimbangan, dan bukannya menerusi kebodohan melulu. Tulisan lawannya tulisan, kartun lawannya kartun, filem lawannya filem dan sebagainya. Namun begitu, kartun, tulisan, filem yang mengandungi kebodohan, fitnah dan sarkasme tidak perlu dibalas dengan kebodohan yang sama, sebaliknya dijawab dengan menerangkan hal yang sebenar, atau dihasilkan tulisan dan filem yang mengajak kepada keharmonian dalam hidup jamak budaya dan agama.

Konklusi dan Refleksi        


1)     Kebebasan mestilah berlangsung dengan penuh kesedaran sivik dan bertanggungjawab. Tidak wajar untuk saya meluru kepada seseorang, kemudian mencela dirinya dan ibu bapanya, seterusnya berlalu begitu sahaja atas alasan itu kebebasan saya. Juga tidak pelik jika saya ditumbuk, dicederakan atau dikenakan tindakan agresif selepas itu. Demikian kita wajar guna hak untuk berfikir, sebelum hak untuk berkata-kata dan beraksi.


2)     Kebodohan tidak seharusnya dibalas dengan kebodohan, dan lebih-lebih lagi apa-apa kebodohan tidak seharusnya dibalas dengan pertumpahan darah. Sangat wajar untuk kita renung bagaimana respon lazim Nabi SAW semasa berhadapan dengan para pencelanya. Kalau ada Muslim yang terlalu bersemangat, siapa yang lebih bersemangat dalam memelihara maruah Nabi SAW lebih dari para sahabat dan Umar al-Khattab? Umar al-Khattab dan para sahabat sendiri telah dipesan Nabi SAW menerusi katanya, “… supaya manusia tidak berkata bahawa Muhammad telah membunuh para sahabatnya.”

3)     Menjaga kemuliaan Nabi SAW merupakan salah satu tanggungjawab seseorang Muslim dan ia bukan berlaku dengan berteriak di jalanan melaungkan slogan itu ini sahaja, tapi membangunkan masharakat Muslim dari segi intelektual, spiritual dan material juga salah satu bentuk memelihara kemuliaan Nabi SAW. Demikian juga, kita mesti bersedia mengakui bahawa kewujudan IS (Islamic State) juga salah satu bentuk penghinaan terhadap Nabi SAW, oleh itu bersikap jelas dan menangani IS juga salah satu bentuk memelihara maruah Nabi SAW.

4)     Memaafkan dan berpaling tidak mengendahkan sindiran ialah salah satu akhlak yang sangat mulia dan dipesan beberapa kali dalam al-Quran sebagaimana telah disebut dalam perenggan-perenggan di atas. Memaafkan tidak bermaksud terhenti setakat itu sahaja, namun ia turut disertai usaha untuk membetulkan salah faham terhadap Islam dan Rasulullah SAW sama ada menerusi ucapan, tulisan, filem dan sebagainya. Suatu yang tidak dapat dielakkan apabila berbicara tentang Islam ialah Islam mempunyai hubungan yang amat erat dengan dakwah dan pendidikan.

5)     Hidup dalam masyarakat yang jamak agama dan budaya, sangat penting untuk kita mempelajari dan mengambil tahu tentang doktrin-doktrin asas agama lain, supaya kita sendiri boleh menghormati keyakinan mereka, sambil kita tegas dan beramal dengan keimanan kita. Bagaimana bisa kita praktikkan Li ta’arafu (saling berkenalan) jika kita kita tidak saling pelajari? Juga bagaimana bisa kita dengungkan Lita’arafu sekiranya kita tidak saling menghormati? Tuntasnya, kita sendiri mesti mengubah sikap kita untuk saling mengambil tahu mengenai budaya penganut agama lain khasnya yang tinggal di tanah air kita sendiri.

6)     Dakwah ialah asas yang kekal, tindakan undang-undang (jika relevan pun) hanyalah salah satu wasilah yang berubah-ubah untuk merawat, bukan sebaliknya. Oleh itu atas semangat apa yang ditunjukkan teladan oleh al-Quran dan al-Sunnah, saya secara peribadi sangat menekankan kekuatan masharakat sivil untuk mendidik manusia meninggalkan perbuatan menghina kepercayaan orang lain. Pertama, masharakat sivil dari pelbagai agama atas semangat “komuniti beragama” (community of faith), kedua ialah dari kalangan pertubuhan-pertubuhan Muslim sendiri. Sebahagian pihak sangat teruja untuk menggunakan kekuasaan dalam menangani hal sebegini, walhal kekuasaan dalam hal kepercayaan hanya mengembang biak kemunafikan dan iman yang penuh kepura-puraan.

7)     Kita mengecam pembunuhan yang berlaku di Perancis, dalam masa yang sama juga kita mengecam dan mengajak dunia untuk sama-sama membantah dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Syria, Myanmar, Afrika Tengah, Abu Ghraib dan sebagainya. Darah dan maruah setiap manusia sangat bernilai dan harus dipelihara tanpa mengira warna kulit, keturunan dan agama.

“… bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (al-Maidah: 32)




[1] Safiyurrahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, cetakan ke-20, 2009, Dar al-Hadis: Mansurah, hlm 220-222. Lihat juga Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, cetakan pertama, Dar al-Qalam, 2006: Damsyik, hlm. 249-251. Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, cetakan pertama, 2002, Dar al-Manar: Kaherah, jilid 1: hlm. 496-497. Ibn ‘Ashur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Dar al-Suhnun: Tunisia, jilid 2: hlm 86 (semasa tafsir ayat ke-51 surah al-Nisa’), begitu juga dalam pelbagai teks hadis, sejarah dan tafsir yang lain, sama ada silam mahupun semasa.
[2] Ahmad al-Raisuni, al-Kulliyyat al-Asasiyyah Li al-Shariah al-Islamiyyah, cetakan pertama, 2010, Dar Ibn Hazm: Jeddah, hlm 141-145. ‘Allal al-Faasi juga ada pandangan hampir serupa dalam bukunya Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah wa Makarimuha, tahqiq Dr Ismail al-Hasani, cetakan pertama, 2011, Dar al-Salam: Kaherah, hlm. 306-314.

Read more...

Sunday, 14 September 2014

Suara Setia Laila


Dari kejauhan

Sayup kedengaran
Suara demi suara panggilan
Menenang jiwa dari keliaran

Terduduk, lagi terkedu
Terdiam, merentas masa lalu
Tertanya, suara apa itu
Tersentak, berdebar-debar kalbu

Dihimpit gelisah
Diburu resah
Selagi tak diendah
Panggilan tanpa lidah

Perlahan-lahan, berlari
Di kedamaian dinihari
Dan berenang, mencari
Suara apa memanggil tadi

Kian dijejak, kian dahaga
Alangkah indahnya tak terkira
Kalau diketahui para raja
Pedang dihunus demi merampasnya

Kerap amat panggilan itu
Peka tak peka, itulah pintu
Adakala dosa penyebab tamu
Setelah sesal, lalu diri buntu

Syahdu, mengenang panggilan
Setia, walau alpanya insan
Meski salah seperti buih di lautan
Tetap sentiasa dialu-alukan

Di balik kelamnya laila
Penuh harap fakir meminta
Selain diampun sekalian dosa
Tak terhijab wajah yg mulia

MBH, 14-09-14 / 02:38

Read more...

Friday, 25 July 2014

Retrospeksi Adab dalam Berbeda, Mengutip Puing-puing Berbaki

Taha Jabir al-Alwani, penulis buku Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam (Ethics of Disagreement in Islam). Sangat dicadangkan untuk dibaca.


Dr Taha Hussein antara tokoh terkenal dunia Arab khasnya dan beliau terlibat dalam debat hangat sekitar beberapa perkara, terutama soal al-Shi'ir al-Jahili (syair zaman Jahiliyyah). Beberapa pandangannya tentang Islam, khasnya al-Quran sangat tak boleh diterima dan dalam beberapa perkara, bertentangan dengan hal-hal asas yang dianjurkan Islam.

Saya tak nak ulas tentang Dr Taha Hussein dan pemikirannya, tetapi tertarik dengan adab dan kesopanan beberapa pengkritiknya; antara paling menonjol ialah Allama Mustafa Sadiq al-Rafi'i, salah seorang daripada tiga tokoh penting pembaharu dalam ilmu balaghah al-Quran, dikenali sebagai al-I'jaz al-Bayani, dua orang lagi ialah Allama Muhammad Abdullah Darraz (dalam Al-Naba al-Azhim khasnya) dan Ustadh Sy. Qutb (dalam al-Taswir al-Fanni fi al-Quran dan Mashahid al-Qiyamah fi al-Quran, selain (dan lebih tertonjol berbanding) tafsir Fi Zhilalnya), selain mereka ada lagi tokoh-tokoh lain, tapi mereka paling menonjol dan kemilau sumbangannya dalam al-I'jaz al-Bayani menurut ulama muhaqqiq era ini, antaranya Allama Sh Faddal Hasan Abbas (lihat contohnya dalam buku al-Tafsir: Asasiyyatuhu wa Ittijahatuh).

Mustafa al-Rafi'i semasa mengkritik Dr Taha Hussein dalam buku terkenalnya 'Tahta Raayah al-Quran', beliau menunjukkan contoh adab yang amat hebat. Beliau berulang-ulang menyebut gelaran kesarjanaan Dr Taha Hussein walau semasa sedang mengkritik keras. Contohnya 'Prof Dr Taha Hussein', dan semasa mengkritik pandangan Dr Taha Hussein tentang falsafah keindahan dan cinta (Falsafah al-Jamal wa al-Hubb), al-Rafi'i memanggilnya sebagai 'al-Ustadh al-Fahhamah al-Duktur Taha Hussein' (bererti: Prof Yang Amat Mendalam Kefahaman, Dr Taha Hussein). Sebelum dinyatakan kritikannya yang penuh beradab, terlebih dahulu al-Rafi'i menyertakan sebuah topik akan kritikan terhadap Taha Hussein oleh Ustadh Mustafa Fadhli, yang turut menggunakan gaya bahasa yang baik dan penuh teladan mulia.

Dalam satu rakaman kuliah Sh Dr Salman Auda, apabila beliau ditanya tentang krisis di Syria yang menyebabkan beliau terpaksa menyebut tentang Hizbullah, beliau menyebut antaranya: "... Hizbullah (parti Allah), kita menamakan mereka sebagaimana mereka menamakan diri mereka ..." Salman Auda tidak menggelarkan mereka sebagai Hizbullat (parti berhala yg bernama al-Lat) sekalipun ia dilakukan oleh segelintir tokoh ilmuan ternama, dan meskipun Salman Auda sendiri tidak bersetuju dengan penglibatan Hizbullah dalam perang saudara di Syria. Salman Auda turut menyebut dalam sebuah rakaman kuliahnya; "alangkah, jika kita berinteraksi dengan manusia sebagaimana Rasulullah SAW berinteraksi dengan kaum munafiq," antara yang dimaksudkannya ialah Rasulullah SAW menghukum mereka berdasarkan zahir, tetap menggunakan bahasa dan pendekatan yang baik. Kalau itulah interaksi penuh adab Rasulullah SAW dengan kaum yang munafiq, tak terbayang betapa indah akhlak Rasulullah SAW dengan para sahabat setianya dan isteri-isterinya yang tercinta! Malangnya hari ini, sebahagian Muslim ghairah mahu memunafikkan dan memfasikkan, bahkan mengkafirkan orang yang berbeza dengan mereka, seolah-olah mereka sedang membaca isi hati manusia lain.

Pemikir Muslim antarabangsa, Prof Dr Taha Jabir al-Alwani telah berlaku benar apabila telah menulis buku 'Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam' (Ethics of Disagreement in Islam) – diterbitkan oleh International Institute of Islamic Thought dalam kedua-dua bahasa, selain turut diterbitkan di Malaysia oleh Angkatan Belia Islam Malaysia – yang telah mengulas dengan padat tentang konsep etika dalam berbeda pandangan sejak zaman Nabi SAW, para sahabat dan generasi ilmuan seterusnya; sama ada dalam dunia kesarjanaan mahupun peristiwa kepolitikan (sebagai contoh perselisihan antara Imam Ali karramaLlahu wajhah dan Muawiyah radiyaLlahu ‘anh). Menurut al-Alwani dalam prakatanya, penyakit perselisihan dan pertentangan itu merupakan antara penyakit paling parah yang dialami Muslim, seolah-olah semua yang ada pada umat ini menerusi perintah, larangan dan ajaran (agama) hanyalah berselisih, gemarkan permusuhan dan perkelahian. Keterlaluan dalam bertelingkah, bermusuhan dan berprasangka melambangkan jiwa kecil yang dimiliki segelintir pihak, kerana kematangan mengajar kita untuk berbeda dengan penghujahan dan saling hormat, bukan adu domba dan didahului prasangka tidak bertempat.

Buku penting Taha Jabir (pertama kali diterbit pada 1987) itu diikuti dengan buku penting bertajuk Fiqh al-Ikhtilaf oleh al-Qaradawi dan antara penulisan terbaharu dan baik ialah 'Kayfa Nakhtalif' (Bagaimana Kita Berbeda?) oleh Salman Auda. Buku Dr Muhammad al-Mukhtar al-Shanqiti bertajuk al-Khilafat al-Siyasiyyah Bayn al-Sahabah (Perselisihan-perselisihan Kepolitikan antara Para Sahabat) turut baik; antara tema umumnya ialah bagaimana sepatutnya mengawal emosi dan kekal rasional dalam menghadapi saat-saat sukar dalam perbedaan, bahkan peperangan. Al-Shanqiti menyertakan 22 kaedah bagaimana berinteraksi dengan peristiwa penuh luka dalam sejarah Islam itu. Menurutnya, bagaimana Muslim berinteraksi dengan peristiwa besar tersebut akan memberi kesan terhadap bagaimana mereka berinteraksi dengan isu-isu sejarah yang lain, termasuk isu-isu semasa dunia Muslim. Oleh sebab itu, beliau memberi perhatian terhadap tema asas buku itu iaitu membezakan antara makanah al-ashkhas (kedudukan seseorang) dan qudsiyyah al-mabadi’ (kesucian prinsip-prinsip).

Al-Shanqiti boleh jadi benar, kerana kegagalan membezakan antara dua perkara tersebut menyebabkan sebahagian Muslim pada hari ini berdiam diri dan bahkan menyokong beberapa fatwa sokongan yang dikeluarkan oleh segelintir ‘syeikh-syeikh’ dalam menyokong pemerintah tirani, sebagaimana telah berlaku di Mesir. Baru-baru ini contohnya, Mufti Besar Mesir telah menurunkan tandatangan untuk hukuman mati empat orang ilmuan yang ‘menentang kerajaan’ kudeta pimpinan al-Sisi. Berbeda pandangan dalam erti kata ini akan menyebabkan kita lebih bersikap kritikal sambil hormat kesarjanaan dan kedudukan seseorang, dan beradab sambil kritis. Kecintaan terhadap seseorang tidak sepatutnya membutakan mata kita untuk sentiasa menyebelahinya meskipun dia sedang terang-terangan melakukan kesalahan, demikian juga kebencian kita terhadap perbuatan seseorang usah hingga menyebabkan kita berlaku tidak adil terhadap kenyataan dan peribadi seseorang.

Barangkali, terdahulu dari semua tokoh kontemporari di atas ialah beberapa penulis silam, khasnya dalam bab biografi hidup, pemikiran ketokohan sarjana tertentu, seperti al-Dhahabi menerusi beberapa bukunya seperti Siyar al-Alam al-Nubala’ dan Ibn Khillikan dalam Wafayat al-A’yan, terlalu banyak judul sedemikian yang ada dalam khazanah pemikiran Islam. Tetapi umumnya penulisan sebegitu menonjolkan sikap insaf dan adil penulisnya, sekalipun semasa sedang menulis tentang tokoh yang mereka berbeda pandangan.

Tentunya etika-etika yang baik dalam berbeda bukan milik Muslim sahaja, namun disebabkan saya sedang berbicara kepada pembaca yang barangkali majoritinya Muslim, maka biar kita belajar contoh daripada orang-orang berilmu yang satu keyakinan keagamaan dengan kita, supaya mudah-mudahan kita lebih melakukan retrospeksi dan belajar sesuatu. Buat rakan-rakan bukan Muslim pula, mudah-mudahan ini merupakan maklumat baharu buat kalian, lantaran persoalan etika berbeda pandangan ialah persoalan bersifat sejagat dan diperlukan semua manusia. Dunia kian mencabar, pelbagai maklumat dan bahan bacaan mudah disuap kepada kita semua pada era globalisasi; sempadan yang nirsempadan dan pengetahuan yang nirbatasan. Bererti, ia akan mencabar etika kita dalam berpendirian, berpihak dan seterusnya berbeda pandangan.

Media-media sosial contohnya, seperti menunjukkan bahawa ada 'trend' tertentu dalam berbeda tanpa etika; kontang hujah, lalu tunjuk kuat dengan pelabelan, serangan peribadi dan sarkasme melampau. Sebahagian pengguna media sosial (termasuk yang mendakwa sebagai memperjuangkan Islam!) contohnya telah melakukan pemetikan bahagian tertentu dari sesebuah kenyataan seseorang yang mereka musuhi, kemudian tanpa dijelaskan apa konteks kenyataan itu, ia dijadikan poster untuk memburukkan peribadi seseorang dan kumpulan tertentu. Bukan itu sahaja, globalisasi yang membawa sekali 'promosi' untuk manusia tahu dan baca semua perkara telah menyebabkan sebahagian pihak meresponnya secara tidak bijaksana, antaranya dengan melakukan larangan jualan buku-buku tertentu secara penguatkuasaan. Debat dan perbedaan di sesetengah tempat ternyata tidak lagi menghasilkan buku-buku yang ‘membalas’ (sebagaimana sikap yang diambil sebahagian sarjana dahulu dan kini) dan menghujahkan pandangan masing-masing, tetapi menghasilkan lebih banyak turun naik ke mahkamah dan campur tangan kekuasaan. Alangkah, ini suatu yang amat mendukacitakan dalam etika berbeda pandangan!

Kita perlu sentiasa serius mendengungkan etika-etika yang bersifat kesejagatan terutama pada dunia yang seolah-olah makin melupakannya. Etika-etika mulia tidak bersifat nisbi, ia suatu yang kekal pada setiap zaman dan tempat. Rasulullah SAW telah melaungkan kata-kata agungnya; “sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kemuliaan-kemuliaan akhlak”. Ia seruan yang sangat mendalam, khasnya perbahasan tentang falsafah akhlak telah berlangsung hebat berkurun-kurun sebelum diutuskan Muhammad SAW, sebagai contoh dibincangkan oleh sebilangan ahli falsafah Yunani sebelum itu.

Agama Islam seluruhnya merupakan akhlak; akhlak dengan Tuhan, akhlak dengan manusia dan bahkan alam. Sesiapa yang mendakwa berakhlak dengan Tuhan tetapi amat teruk sikap dan interaksi dengan manusia, dakwaannya hanyalah khayalan dan penuh tipu daya. Tulisan ini tidak mahu membahaskan falsafah akhlak secara panjang lebar, cukuplah kita melakukan retrospeksi terhadap tragedi mendukacitakan kita dalam kita berbeda pandangan. Kata-kata dan pendekatan benci seperti terlalu mendominasi masharakat hari ini, kata-kata dan pendekatan cinta mesti diangkat kembali. Ia suatu yang sukar, tapi tidak mustahil. Kawal ego, didik diri untuk sentiasa tawaduk. Kita bukan tahu semua perkara, kita bukan sentiasa betul.

Read more...

Tuesday, 22 July 2014

Maaf, Tanpa Segan Kuulang



Maaf, kepada diri
Karena sering dizalimi
Jua karena amal terpuji
Jarang amat kumiliki

Maaf, kepada semalam
Berlalu penuh kelam
Jua kelmarin, maaf atas zulam
Yang tak sepatutnya kuberdiam

Maaf, buatmu yang telah pergi
Duhai jantung hati
Tak sempat akanmu kuberbakti
Hanya air mata rindu peneman diri

Maaf, kau yang sering berkeringat
Inspirasi untuk kami bersemangat
Demi mengejar matlamat
Menjadi baik, berbakti untuk umat

Maaf, buat cinta yang kulafaz pernah
Tapi tiada daya, bukan tak endah
Demikian, maaf buat cinta tak pernah
Kulafaz, hingga di minda ia menjengah

Maaf, kepada ‘esok’ yang setia
Jarang amat kutamumu penuh mesra
Seperti sering dilalui sambil lewa
Walhal ‘esok’ teguh bersahabat sentiasa

Maaf, buat Tuhan
Tiada serius aku dalam keimanan
Sebaliknya galakku dalam kederhakaan
Kutangisi kedaifan, dari keampunan tidak berputusan

Kutunduk, ikhlas buatmu wahai al-Mustafa
Malu amat, akanmu sering kualpa
Deritamu, sepatutnya deritaku jua
Maaf, leka tak berkesudahan dengan dunia

Maaf kepada semua, khasnya guru dan teman
Menjadi terbaik, tetap sebuah harapan
Maaf, sarat aku dengan kekurangan
Terima kasih, sudi hulur salam persahabatan

Maaf, empat huruf sentiasa kuulang
Aku beranikan, walau segan suatu yang memang
Maaf, kalian penuh budi kuberhutang
Aku pula, hanya maaf bisa kubertiang

MBH, Irbid
220714, 01:40

Read more...

Saturday, 19 July 2014

Negara Bangsa, Berhala Baharu Zaman ini

Penulis makalah ini (dalam bahasa Arab), Prof Dr Jasser Auda(kiri): Professor Maqasid Shariah di Fakulti Pengajian Islam, Qatar Foundation, Doha, Qatar.
                Antara matlamat dan tujuan puasa Ramadan ialah pendidikan kepada orang yang berpuasa untuk ikhlas kepada Allah, di mana seseorang itu menahan dirinya dari makanan dan minuman sekalipun dia bersendirian, dia mendapati bahawa tiada yang melihatnya melainkan Penciptanya, maka dia dididik supaya mengesakan-Nya yang tiada sekutu bagi-Nya.

                Namun demikian, syirik (penyekutuan) akan Allah berlaku dengan bentuk yang baharu pada zaman ini. Bahkan ia kelihatan pada bulan Ramadan yang penuh kelebihan, pada tahun ini, yang mana bulan ini mengajak kepada tauhid dan prinsip-prinsip akidah.

                Syirik yang baharu ini ialah dalam penyembahan “negara kebangsaan”, bahkan kadang-kadang mengkuduskannya mengatasi Allah, lalu menyia-nyiakan setiap nilai akidah dan akhlak keIslaman serta keAraban, bahkan kemanusiaan dalam perjalanan “negara” yang esa tersebut, tiada sekutu baginya!

                Antara manifestasi penyembahan berhala baharu ini ialah kebanyakan umat Islam dan khasnya bangsa Arab mengabaikan Gaza yang terluka, yang mana syaitan zionis sedang menyakitinya dan bertindak keras terhadap masharakat awam dengan senjata-senjata-senjata yang dilarang. Demikian juga dengan al-Quds yang mulia, yang mana derasnya perancangan jahat menentang penduduk dan tempat-tempat suci di al-Quds.

                Malahan pengkhianatan itu melampaui dari sekadar sebuah tindakan tercela yang negatif atau semata-mata sebuah perbuatan diam, menjadi sebuah kerjasama yang benar-benar berlaku bersama-sama musuh-musuh umat, yang mana mereka dari kalangan orang yang menyangka diri mereka sebagai “sebaik-baik tentera di muka bumi”. Pengkhianatan terhadap kemanusiaan, Arabisme dan agama tersebut dibicara dengan nama “kepentingan nasional”, “keamanan bangsa” dan kepentingan “negara kebangsaan”, tiada sekutu baginya. (penterjemah: maksud penulis dengan “sebaik-sebaik tentera di muka bumi” tentera Mesir sebagaimana didakwa mereka dan segelintir tokoh agama sebelum ini berdasarkan sebuah hadis yang bertaraf da’if)

                Perkara ini terus berkait dengan berhala besar ini, maka ke atas setiap suara untuk diam, patahnya pen-pen, dan tiada satu jiwa pun yang berbicara melainkan dengan keizinan “negara”, tiada sekutu baginya.

                Antara manifestasi mengerikan dalam penyekutuan yang baharu ini dalam penyembahan “negara” ialah penderitaan kemanusiaan yang sedang berlaku di Syria, yang mana dunia tidak melihat atau berinteraksi dengan isu tersebut sepanjang tahun-tahun (penderitaan) itu sebagai jenayah-jenayah yang mengerikan. Semata-mata kerana ia dilakukan oleh “negara”, bahkan sebahagian cerdik pandai yang rosak sedang menghalalkan jenayah-jenayah ini dengan menyatakan bahawa menjadi hak “negara “ itu untuk mempertahankan kedaulatan dan batas-batasnya, dan untuk membunuh serta menghalau rakyatnya sendiri demi mengekalkan kedaulatannya di buminya, walaupun seluruh rakyat binasa.

                Bahkan “dunia yang bebas” menghalalkan polisi-polisinya dengan sangat halus menerusi jalan penyifatan apa yang sedang terjadi sebagai sebuah krisis dalam negara dan perang saudara. Lalu dengan nama kedaulatan “negara”, kita berjalan dalam perangkap-perangkap mereka yang satu terhadap pihak yang lain demi merangka Timur Tengah yang baharu.

                Sebagaimana kita sedang melihat ketidakadilan yang bersangatan oleh “negara” Iraq dalam menentang unsur yang besar di sana iaitu Sunni yang berbangsa Arab. Maka kamu melihat sejak permulaan pembahagian yang aneh dan pelik untuk unsur-unsur “negara” itu dengan pembahagian Syiah, Sunni dan orang Kurdi, seolah-olah orang Kurdi bukan dari kalangan Sunni jika kita melihat dari sudut mazhab dan bukannya keturunan. Begitu juga seolah-olah Sunni dan Syiah di sana tidak berkongsi identiti keAraban jika kita melihat kepada keturunan dan bukannya mazhab, dan seolah-olah pembahagian ini terhadap unsur-unsur “negara” merupakan suatu yang “biasa”.

                Kemudian pembahagian beragenda ini diikuti dengan polisi-polisi dalam negara yang berat sebelah dan kadang-kadang bersifat menzalimi. Kemudian orang lain dari luar “sempadan negara” tidak berhak mencampuri urusannya, sehingga kita telah sampai ke keruntuhan yang pantas lagi luar biasa terhadap kesatuan negara tersebut di hadapan kumpulan yang kacau lagi penuh keraguan tujuan-tujuannya, mereka mengkaderkan pemuda-pemuda yang jahil lagi bersemangat dari seluruh dunia dan mendakwa bahawa mereka telah menegakkan “khilafah”, apa jalannya engkau dapat tahu apa itu khalifah?

                Sungguh, telah berlaku jenayah-jenayah yang melanggar kehormatan, bahkan pencabulan terhadap lelaki dan wanita di “ibu dunia” (Mesir), hinggakan jenayah-jenayah yang kejam itu menjadi suatu yang biasa dalam laporan-laporan badan hak asasi manusia di pelbagai tempat.

                Namun demikian antara yang paling menakjubkan ialah apabila kita mendapati orang yang memberi pandangan menghalalkan perbuatan itu, kerana “kehebatan negara” – tiada sekutu baginya – berbanding ujian itu, dan ia merupakan sebuah nilai yang harus kita pelihara mengatasi apa-apa nilai yang lain.

                Dengan nama “kehebatan negara” yang tiada sekutu baginya; ada yang dirogol, dibunuh, diseksa dan manusia sedang mati, sementara “negara” sedang hidup. Kemudian kedaulatan undang-undang dicabuli, bahkan demikian juga nilai undang-undang itu sendiri, dengan hukuman-hukuman gila yang menghukum mati ratusan demi ratusan penentang pemerintahan askar menerusi perundangan kebangsaannya “yang mulia”, dan dengan tuduhan-tuduhan yang gila lagi pelik, selain mahkamah-mahkamah tidak berdiri bersama-sama sekecil-kecil prinsip perundangan, sambil sembarangan dalam penangkapan dan hukuman denda.

                Semua itu berlaku dengan bentuk yang memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah “negara moden”, yang mana dunia telah mengetawakan kita, kemudian dikatakan kononnya hukuman-hukuman ini ialah untuk memelihara “negara” daripada orang yang telah mengkhianatinya. Sebaik-baik dalil di sisi mereka berkenaan pengkhianatan tersebut ialah persepakatan dengan perjuangan isu Palestin, yang mana ia merupakan “sudut asing” berdasarkan perkiraan kepentingan “negara”.

                Maka persepakatan bersama Zionis dengan nama berhala “negara” suatu yang legal, sementara persepakatan dengan perjuangan isu Palestin dengan nama kepentingan “umat” pula suatu yang dilarang.

                Kemudian lebih teruk lagi ialah apabila mufti di negara Mesir melibatkan diri – mufti demi mufti – dalam penumpahan darah orang yang tidak bersalah, para pendakwah dan reformis, kadang-kadang atas (kenyataan) bahawa mereka merupakan “khawarij”, dengan erti mereka telah keluar (menentang) “negara” – tiada sekutu baginya – lalu penentangan ini dianggap sebagai “riddah” yang melayakkan hukuman bunuh tanpa pendakwaan, bahkan (tanpa) “diminta bertaubat”. Kadang-kadang pula menerusi hukuman-hukuman mati yang mana pertimbangan-pertimbangan yang berkait dengan penentangan “kekuasaan negara” meletakkan kewajaran-kewajaran “legitimasinya”, lalu pada kali ini para ilmuan menerusi syirik berwarna baharu ini melibatkan diri dengan nama Islam.

                Hakikatnya pemberian fatwa dalam umat Islam secara terasnya tidak sah untuk mengikuti kuasa eksekutif dalam "negara" ini atau itu, lalu ilmuan yang bertaraf mufti menerima belanjawan daripada pemerintah, dan bersama-sama belanjawan itu ada perintah dan arahan rasmi.

                Pemberian fatwa dalam umat Islam – sepanjang sejarahnya yang panjang – merupakan kedudukan yang bebas dan tersendiri yang diperoleh ulama besar yang mana umat Islam belajar daripada mereka dengan penuh penerimaan pada setiap zaman, bukannya orang-orang yang ditentukan oleh pemerintah dalam “negara”.

                Apabila tertegaknya institusi fatwa secara kolektif, ia tidak sah melainkan jika bersifat tersendiri  (bebas) dari segi kewangan, pentadbiran dan politik, dan menuruti badan keilmuan yang mempunyai sistem wakaf yang tersendiri.

                “Jawatan” (dalam) pemberian fatwa dalam negara bangsa menerusi bentuknya yang semasa merupakan satu perkara baharu (bidaah) dalam urusan kepolitikan Uthimaniyyah. Namun dalam realiti kita pada hari ini, hari demi hari mengukuhkan bahawa ia suatu bidaah yang buruk dan batil, dan bukannya bidaah yang baik dan diterima.

                Kemudian negara-negara “lain” berinteraksi dengan apa yang sedang berlaku di Palestin, Syria, Iraq, Mesir, Libya, Yaman dan lain-lain menerui pandangan “kepentingan nasional”. Oleh itu pendirian-pendirian kepolitikan – kecuali sesiapa yang Allah kasihi – tidak mengenal prinsip dan nilai, kecuali kepentingan kepolitikan dan ekonomi untuk sesebuah negara bangsa. (Mereka tidak mengenal prinsip dan nilai) Sekalipun atas perkiraan agama, kebenaran, dan bahkan perkiraan semua manusia dalam implikasi-implikasi sesuatu perkara.

                Sedang berlangsung jenayah-jenayah yang dahsyat dan penyembelihan-penyembelihan yang berdarah di pelbagai negara Muslim dan bukan Muslim; dari Myanmar, Bangladesh dan Filipina hinggalah ke Sudan, Somalia dan Nigeria, selain apa yang sdang berlaku di Palestin, Syria, Iraq dan Mesir. Kita tidak mendapati anak-anak Islam yang bersuara untuknya, dan tidak juga mengingkarinya, memandangkan jenayah-jenayah ini sedang berlaku di “negara-negara” lain yang mempunyai “kedaulatan akan apa yang berada dalam sempadan tanah airnya”.

                Mereka masih menyembah berhala-berhala negara mereka, tidak kesalahan pada apa yang mereka sedang lakukan, ia merupakan suatu yang mendekatkan diri mereka dengan berhala-berhala tersebut. Sebagai tambahan, kita menyebut di sini bahawa kecintaan akan negara merupakan nilai keIslaman dan kemanusiaan yang tidak ditolak atau diingkari oleh seseorang Muslim. Rasulullah SAW berkata tentang Mekah: “Kalau bukan kerana pendudukmu menghalau aku darimu, nescaya aku tidak akan keluar.”

                Tetapi perbincangan kita di sini bukannya tentang mencintai tanah air dan memberi kesetiaan kepadanya, ia merupakan suatu yang tabii dan legal. Perbincangan kita ialah tentang penyembahan berhala baharu yang bernama “negara bangsa”, yang mana golongan yang berniat jahat sentiasa mengelirukan antara “negara bangsa” dan faham tanah air itu sendiri demi merealisasikan matlamat-matlamat kepolitikan opportunisme mereka, selain kepentingan-kepentingan kebendaan mereka yang salah.

                Sebagai tambahan juga, dinyatakan bahawa orang yang mencipta faham “negara bangsa” ialah Barat, tiada pada mereka kemusykilan-kemusykilan yang menyedihkan ini dalam realiti semasa mereka. Hal yang demikian lantaran mereka sedang merealisasikan faham ini dalam dunia realiti di tempat yang betul, ia disebabkan sesebuah negara hanyalah sebuah struktur birokrasi yang mana tujuannya ialah untuk merealisasikan kepentingan umum, bukanlah negara itu sendiri merupakan tujuan.

               Bahkan sesungguhnya sekalipun mereka menciptakan faham ini – dan mengeksportnya kepada kita – tetapi mereka sendiri melampauinya untuk merealisasikan kepentingan umum pada peringkat kesatuan-kesatuan negara tertentu dan kerjasama-kerjasama ketenteraan, kepolitikan dan ekonomi, betapa jauhnya kita dari contoh mereka.

                Adakah ini masanya, khasnya kita sedang berada pada bulan puasa dan (bulan) tauhid untuk mengesakan Tuhan dan menahan dari menyembah berhala yang bernama “negara bangsa” ini? Sudahkah tiba masanya untuk kita meletakkan “negara bangsa” di tempatnya yang betul, dan berinteraksi dengannya sebagai semata-mata wasilah untuk menguruskan urusan masharakat moden dan merealisasikan kepentingan umum, tanpa menjadikan kepentingannya lebih utama berbanding kepentingan agama, kehidupan kemanusiaan dan kemuliaan yang telah Allah berikan kepada anak-anak Adam?

                Ini tidak bererti menyeru kepada sistem yang kacau, sama ada Islamisme yang bersifat ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) ataupun liberal anarchism, kerana “negara bangsa” pada hari ini merupakan sebahagian yang tidak terpisah dari realiti kehidupan dan kepentingan manusia. Tetapi ia bererti negara sebetulnya menjadi wasilah yang berkhidmat kepada manusia dan kemanusiaan, bukannya nilai “negara” lebih tinggi daripada nilai manusia, kehidupan dan kemuliaannya.

Negara itu sendiri merupakan sebuah wasilah untuk memelihara manusia, bukannya untuk menceroboh nilainya dengan nama memelihara entiti legenda tersebut yang tergambar dalam khayalan-khayalan manusia.

Akhirnya di kedudukan ini – sebagai masharakat Arab – kita mesti mengingati siapakah yang telah meletakkan sempadan-sempadan itu dan mencipta berhala-berhala tersebut sejak awal?


Sekiranya masharakat pagan Arab yang dahulu telah menyembah berhala-berhala dari ukiran tangan-tangan mereka, maka sebahagian masharat Arab pada hari ini telah menyembah berhala-berhala yang diukir oleh  Sir Mark Sykes dari Britain dan diplomat Perancis Francois George-Picot. Pengukirannya yang baharu berulang kembali kepada kita pada hari ini oleh pemerintah-pemerintah di Barat dan Timur!

*Makalah tulisan Dr Jasser Auda ini tersiar di laman web rasmi Kesatuan Ulama Muslim Sedunia.

Read more...

Tuesday, 15 July 2014

Fiqh Islam & Kepemimpinan Wanita - Sebuah Risalah Pengenalan


*Risalah ini lebih cenderung membicarakan "pengenalan" untuk keharusan kepemimpinan wanita berdasarkan perspektif Islam, tanpa memanjangkan bicara soal ketidakharusannya berdasarkan debat silam khasnya.

Isu kepemimpinan wanita ada perbahasan yang tersendiri dalam pandangan Islam, bahkan kadang-kadang ia berlangsung kontroversi. Selain kepemimpinan wanita, soal bolehkah wanita menjadi hakim juga saling berkaitan. Oleh itu kita lihat, Hanafiyyah mengharuskan perempuan dilantik di kerusi kehakiman dalam urusan sivil dan kekeluargaan, kecuali berkaitan jenayah sharak. Sementara itu at-Tobari, Ibnu Hazm dan aliran Zhohiri mengharuskan perempuan menjadi hakim dlm erti kata lebih luas berbanding pandangan Hanafiyyah. Paling penting daripada contoh-contoh di atas, isu pelantikan wanita untuk tugas-tugas umum tidak wujud ijmak akannya dan wujud khilaf (Lihat al-Qaradhawi; al-Shaykh al-Ghazali Kama 'Araftuh).

Perlu kita tahu sebuah kaedah yg diterima jumhur; khitab sharak ditujukan kepada semua sama ada lelaki atau wanita, sekalipun digunakan 'dhamir' lelaki, kecuali ada dalil dan petunjuk yang mengkhususkannya. Nabi saw diutus kepada semua tanpa mengira jantina karena shariah diturunkan untuk semua.

Perempuan mesti dilibatkan dalam urusan kepemimpinan dan perbincangan peringkat tertinggi masharakat dan negara. Kita lihat, dalam ayat ke-233 dalam surah al-Baqarah; "kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya)".

Ayat ini tentang suami isteri yang bermusyawarah utk tentukan urusan susuan anak mereka. Sarjana Islam dari Maghribi, al-Marhum 'Allal al-Fasi dalam al-Madkhal fi an-Nadzariyyah al-'Ammah Li Dirasah al-Fiqh al-Islami (hlm. 101), semasa mengulas ayat tersebut, beliau menyebut: "Kalau syura pada urusan keluarga pun dituntut, apa kata kamu dengan syura berkaitan urusan keluarga yang lebih besar, iaitu urusan umat dan negara." Ulasan al-Faasi seterusnya, utk urusan masharakat/negara yg melibatkan jumlah lebih besar, maka lebih utama untuk dilibatkan perempuan dlm urusan kepemimpinan karena perempuan adalah separuh daripada masharakat dan negara.

Demikian juga al-Faasi melihat ayat ke-71 surah at-Taubah: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.. (hingga habis ayat). Ayat ini menurutnya memberi wilayah mutlaqah kpd wanita beriman sebagaimana diberi kepada laki-laki. Juga hak untuk berpartisipasi dalam jihad, solat berjemaah dan sebagainya.

Almarhum Muhammad al-Ghazali turut dikenali lantang berhubung kepemimpinan wanita. Beliau mengulas antaranya dalam al-Sunnah al-Nabawiyyah bayn Ahl al-Fiqh wa Ahl al-Hadis, dalam bab "fi 'Alam an-Nisa'". Ringkasnya menurutnya ia adalah isu kompetensi dan akhlak dalam memimpin, bukannya isu jantina. Beliau juga telah menakwil hadis yang menyatakan (tidak akan beruntung kaum yang diperintah urusannya seorang wanita) sebagai mesti dibaca berdasarkan konteks dan sejarah, karena dalam masa sama al-Quran sendiri memuji pemerintahan baik dan mengangkat syura oleh Ratu Saba' (dikenali sebahagian orang sebagai Balqis), justeru katanya, pasti ada konteks yang menyebabkan hadis tersebut wujud. Antaranya, ia berkait dengan perempuan tersebut yang tiada kompetensi dan masharakat Parsi ketika itu sangat teruk. Al-Qaradhawi ada melakukan komentar dan menyokong pandangan Muhammad al-Ghazali tersebut dalam bukunya "al-Shaykh al-Ghazali kama 'araftuh". (Disebabkan ini hanyalah catatan ringkas, maka untuk lanjut saya cadang dibaca ulasan berkaitan isu ini dalam kedua-dua buku yang tulisan al-Ghazali dan al-Qaradhawi itu).

Tokoh Usuli dan Maqasidi, Shaykh Dr al-Raisuni turut berpandangan akan keharusan dan kepentingan kepemimpinan wanita, kecuali dalam urusan yang besar seperti ketenteraan negara. (Lihat dalam al-Shura fi Ma'rikah al-Bina', hlm 60).


Kesimpulannya berdasarkan pemahaman saya yang cetek, kepemimpinan wanita (kecuali imamah uzhma, bahkan hal ini pun ada perbincangan dan sebahagian sarjana mengizinkannya) adalah suatu yang harus. Kepemimpinan ialah soal integriti dan kompetensi, bukan soal jantina. Bahkan jika diulang-ulang perkataan bahawa wanita tidak boleh memimpin sebuah gerakan besar (pertubuhan, negeri dan negara) lalu disandarkannya kepada Islam, maka ia boleh menjejaskan nama baik Islam, sedangkan salah satu maqasid al-Shariah ialah memperelok gambaran baik mengenai Islam (Tahsin suroh al-Islam). Tanpa menafikan bahawa ada pandangan yang tidak mengharuskan kepemimpinan wanita, namun tiada ijmak dan sehingga sekarang berlangsung khilaf, justeru wajar ia dihormati.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP